Perak beri jaminan keadaan tiga gajah dihantar ke Jepun dipantau – Exco

IPOH – Kerajaan Perak akan memberi jaminan dan memantau secara rapi keadaan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang dihantar ke Jepun bagi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terus terpelihara.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, tiga gajah berkenaan yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dihantar ke Tennoji Zoo di Osaka sebagai sebahagian daripada kerjasama dua hala yang telah dirancang sejak tahun 2022.

Katanya, minat untuk mendapatkan gajah dari Malaysia telah disuarakan pihak zoo berkenaan dan proses itu diselaraskan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama pihak pengurusan zoo.

“Perkara ini telah diselaraskan melalui ZNTS dan juga PERHILITAN memandangkan hidupan liar berada di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.

“Sepanjang beberapa tahun ini juga, beberapa siri perbincangan termasuk lawatan ke zoo di Osaka telah dijalankan oleh pihak PERHILITAN untuk membuat penilaian dan memastikan kemudahan yang disediakan adalah bersesuaian.

“MoU (perjanjian persefahaman) juga telah ditandatangani sebelum ini dan ia membawa kepada penghantaran tiga gajah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita pada Majlis Edaran Bubur Lambuk Iftar Ramadan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini, pada Khamis.

Hadir sama Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.

Menurut Sandrea, pihak Majlis Perbandaran Taiping yang menguruskan ZTNS turut memaklumkan bahawa ketiga-tiga gajah berkenaan telah selamat tiba di Osaka.

Kata beliau, kerjasama tersebut turut melibatkan pertukaran haiwan antara kedua-dua zoo sebagai usaha memperkukuh hubungan serta meningkatkan program pemuliharaan hidupan liar.

“Selepas ini sekitar pada bulan April, wakil daripada ZNTS juga dijadualkan mengadakan lawatan ke Tennoji Zoo untuk melihat sendiri keadaan gajah yang dihantar selain menandatangani MoU seterusnya.

“Ini merupakan kerjasama dua hala di mana selepas kita menghantar gajah, pihak ZTNS juga dijangka akan menerima haiwan yang dihantar oleh zoo di Osaka bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Tambah beliau, segala aspek berkaitan kebajikan dan kesejahteraan hidupan liar di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap kerjasama yang melibatkan pemindahan hidupan liar ke luar negara.

Kata Sandrea, pihak berkuasa berkaitan akan memastikan setiap prosedur dan penilaian dilakukan dengan teliti bagi menjamin persekitaran yang sesuai serta selamat kepada haiwan yang dihantar.

Terdahulu di laman sosial Threads, warga net meluahkan kebimbangan terhadap kebajikan tiga ekor mamalia tersebut.

Malah terdapat petisyen yang dibuat secara dalam talian membantah tindakan membawa haiwan tersebut ke Jepun dan sehingga Khamis seramai lebih 26,000 orang menyokong petisyen berkenaan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

40 masjid, surau di Parlimen Batu Gajah terima sumbangan RM5,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI