Bunuh pelajar: Mahkamah tolak permohonan ikat jamin Mohd Nazri

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis menolak permohonan pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima, Disember tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan perintah agar permohonan bagi jaminan dibenarkan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 45, dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, dekat sini antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan ke atas pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bhupindar Singh ketika membacakan keputusannya berkata, berdasarkan naratif dikemukakan pihak pendakwaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah seksyen berkenaan.

Di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu pemberita, terdapat dua alasan yang dipertimbangkan mahkamah bagi menolak permohonan jaminan tersebut.

Jelasnya, alasan pertama, pihak pembelaan mengemukakan keselamatan keluarga tertuduh terancam susulan kes berkenaan telah tular, namun pihak pendakwaan mendapati tiada siasatan lanjut dibuat polis.

Ujarnya lagi, alasan kedua pula, berkaitan keselamatan dan nyawa tertuduh di penjara terancam kerana bercampur dengan banduan lain setiap kali transit balik dari mahkamah.

“Pihak pendakwaan berpendapat, isu tersebut tidak wajar dibangkitkan dalam afidavit kerana pihak penjara tidak pernah halang atau mewujudkan sekatan tertuduh berjumpa peguam,” ujarnya.

Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Hadir sama, Peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bunuh pelajar: Mahkamah tetapkan 5 Sept dengar permohonan jaminan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI