Lebuh Raya WISE: Perjanjian konsesi antara syarikat, KKR ditandatangani – Saarani

PARIT BUNTAR – Kerajaan Negeri Perak mengesahkan perjanjian konsesi bagi projek pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) telah ditandatangani di Putrajaya, pada Rabu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau dimaklumkan perjanjian itu telah ditandatangani antara Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dengan wakil syarikat WISE.

Katanya, susulan itu projek pembinaan lebuh raya yang menghubungkan antara Gopeng dan Kuala Kangsar mungkin akan dimulakan dalam kadar segera.

Lebuh Raya WISE Perjanjian konsesi antara syarikat, KKR ditandatangani kerajaan negeri Saarani Perak lebuhraya
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku @ Parit Buntar dan Majlis Pecah Tanah Rumah Perakku Taman Kerian Putra di Taman Kerian Putra. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 SEPTEMBER 2024.

“Apabila ia telah sempurna (tandatangani perjanjian konsesi), maka sudah pasti syarikat berkenaan akan mula mencari dana (untuk pelaksanaan projek).

“Ini kerana sebelum ini, pihak bank menunggu untuk perjanjian konsesi itu disempurnakan. Dan susulan itu, ia akan membolehkan pihak bank membiayai pembangunan projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu kepada 27 penerima dan Majlis Pecah Tanah bagi Fasa Dua di Taman Kerian Putra, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching, serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Zulkefli Abdullah.

Lebuh Raya WISE Perjanjian konsesi antara syarikat, KKR ditandatangani kerajaan negeri Saarani Perak lebuhraya
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Pecah Tanah Rumah Perakku Taman Kerian Putra di Taman Kerian Putra. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 SEPTEMBER 2024.

Selain itu, Saarani menyifatkan sebagai pembangunan WISE sebagai satu keperluan sebagai laluan alternatif kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang sering mengalami kesesakan akibat kemalangan.

Tambah beliau, ia juga dijangka akan memberi impak positif kepada Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di daerah utara Perak.

“Sebelum ini orang ramai akan melalui Terowong Menora yang kerap berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan trafik yang panjang.

“Oleh itu, selain daripada Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), WISE akan jadi alternatif kedua pengguna lebuh raya untuk ke utara Perak,” katanya lagi.

Pada Julai lalu media melaporkan, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan pihak pengurusan WISE sudah memuktamadkan isi kandungan perjanjian konsesi.

Saarani dilaporkan berkata, ia bagi memastikan perancangan pembinaan WISE akan dapat dimulakan pada tahun ini.

Pada 14 Disember tahun lalu, Saarani memaklumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan pembinaan WISE selepas dipersetujui mesyuarat Kabinet.

Projek dibangunkan syarikat konsesi menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Lebuh raya WISE sepanjang 60 kilometer bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya Kuala Kangsar. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lebuh Raya WISE: Kandungan perjanjian konsesi dipersetuji- Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI