Perak kaji pelaksanaan wajibkan pemandulan anjing sebelum mohon lesen

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang mengkaji  pelaksanaan mewajibkan pemohon lesen pemeliharaan anjing memandulkan haiwan tersebut sebagaimana dilaksanakan di Negeri Sembilan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, perkara itu masih di peringkat kajian bagi melihat kepada keberkesanannya dalam mengawal populasi anjing di Perak.

Katanya, beliau juga ada mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sembilan selepas perkara itu ada diusulkan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Kerajaan negeri perak pemandulan anjing peliharaan peraturan Negeri Sembilan haiwan Sandrea perak memandulkan lesen
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (tiga, kiri) menunjukkan poster Program ‘Perak Pawsitive Inisiative’ (Kempen Pemandulan Anjing Bersubsidi) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 SEPTEMBER 2024.

“Saya dimaklumkan selepas peraturan itu dilaksanakan (hampir setahun di Negeri Sembilan), timbul pula isu sampingan apabila pemohon lesen pemeliharaan anjing menurun.

“Oleh sebab itu, kita ambil kira (implikasi peraturan) dalam jangka masa panjang, namun ia memang menjadi sasaran dan perancangan kerajaan negeri (untuk dilaksanakan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Kempen Pemandulan Anjing Bersubsidi peringkat Majlis Daerah Kampar (MDKpr) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Negeri Sembilan sebelum ini mewajibkan pemohon lesen pemeliharaan anjing memandulkan haiwan terbabit sebagai langkah lam mengawal populasi anjing di negeri itu.

Tambah Sandrea lagi, kajian-kajian lanjut termasuk dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak juga dilaksanakan bagi memperkemaskan lagi peraturan itu sebelum ia dapat dikuatkuasakan.

“Perbincangan ini termasuk dengan semua pihak yang berkenaan kerana mereka masing-masing mempunyai kepakaran dan pengalaman yang berkenaan.

“Dan lazimnya antara sebab pemilik haiwan ini enggan untuk buat pemandulan adalah antaranya kerana kos agak tinggi (yang boleh mencecah sehingga RM200 untuk seekor),” katanya.

Kerajaan negeri perak pemandulan anjing peliharaan peraturan Negeri Sembilan haiwan Sandrea perak memandulkan lesen
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching ketika sesi sidang media program ‘Perak Pawsitive Inisiative’ (Kempen Pemandulan Anjing Bersubsidi) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 SEPTEMBER 2024.

Pada masa sama beliau memberitahu, sebanyak 2,726 aduan berkaitan gangguan anjing liar telah diterima semua PBT di Perak bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Kata beliau, daripada jumlah itu hampir 5,000 ekor haiwan itu telah ditangkap dengan 1,190 ekor anjing telah tindakan dimandulkan dalam tempoh sama.

Mengulas tentang program Sandrea berkata, Kempen Pemandulan Anjing Bersubsidi yang digerakkan itu sebagai usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan kesedaran awam serta menangani isu populasi haiwan jalanan dengan berkesan demi keselamatan komuniti.

Tambah beliau, program berkenaan akan berlangsung bermula pada jam 9 pagi sehingga 5 petang pada 27 sehingga 29 September di Dewan Bandaran Gopeng.

“Dalam program ini kita menyasarkan 100 ekor anjing peliharaan untuk dimandulkan, dengan keutamaan diberikan kepada anjing peliharaan dari kawasan Gopeng dan pendaftaran dibuat secara atas talian.

“Kos bagi setiap pembedahan pemandulan anjing adalah RM140. Kerajaan negeri menawarkan subsidi sebanyak RM50. Oleh itu, pemilik anjing hanya perlu membayar RM90 sahaja bagi setiap ekor haiwan,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Warga emas maut: MBI jalan operasi tangkap anjing liar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI