‘Tiada erti merdeka jika pemikiran terbelenggu adu domba’ – Saarani

IPOH – Walaupun ketika ini tiada peperangan untuk mencapai kemerdekaan, namun suasana seolah-olah mula melentur akibat bibit-bibit persengketaan dalam kalangan segelintir rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, media sosial yang sepatutnya merapatkan hubungan rakyat, kini lebih cenderung menjadi pentas perbalahan.

Katanya, tiada erti merdeka jika pemikiran masyarakat masih terbelenggu dengan sifat adu domba yang membawa kepada perpecahan, sifat iri hati dan mementingkan diri.

kemerdekaan rakyat adu domba masyarakat keharmonian saarani pemikiran perpecahan terbelenggu
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2024 sempena Hari Kebangsaan Ke-67 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 OGOS 2024.

“Kandungan-kandungan berunsur kebencian (di media sosial) ini kemudiannya dikongsi dan disebar walaupun tidak diketahui kesahihannnya.

“Ia diulang-ulang dan terus disebar sehingga suatu tahap pembohongan dianggap sebagai suatu kebenaran, dan kebenaran pula dianggap sebagai suatu pembohongan. Akibatnya, keharmonian masyarakat berbilang kaum menjadi begitu longgar,” katanya.

keharmonian
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) mengibar Jalur Gemilang ketika hadir pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2024 sempena Hari Kebangsaan Ke-67 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh, malam tadi. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 OGOS 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-67 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, malam tadi.

Program yang disertai hampir 20,000 pengunjung daripada pelbagai bangsa itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Exco dan wakil-wakil rakyat.

Majlis terdahulu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan sebelum menuju ke acara kemuncak kiraan detik jam 12 tengah malam, persembahan bunga api dan laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali.

Orang ramai yang hadir juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis terkenal tanah air iaitu Marsha Milan dan Ezad Lazim.

keharmonian
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2024 sempena Hari Kebangsaan Ke-67 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 OGOS 2024.

Mengulas lanjut Saarani berkata, kerukunan rakyat berbilang kaum juga semakin diuji dengan polemik perpecahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kata beliau, isu 3R (bangsa, agama, dan raja) juga sering dijadikan perdebatan, sehingga rakyat mudah diselimuti dengan perasaan syak wasangka dan saling mencurigai antara satu sama lain.

Justeru Saarani mengajak semua pihak untuk menjadikan detik kemerdekaan tahun ini sebagai titik mula untuk menggilap semula hubungan harmoni sesama masyarakat.

kemerdekaan rakyat adu domba masyarakat saarani pemikiran perpecahan terbelenggu
Percikan bunga api memeriahkan Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2024 sempena Hari Kebangsaan Ke-67 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 OGOS 2024.

Ujar beliau lagi, rakyat diingatkan untuk tidak mudah termakan dengan seruan kebencian, hasutan kemarahan dan sentimen politik yang memecahbelahkan perpaduan.

“Hargailah keamanan dan keharmonian. Jangan kita pertaruhkan kedua-duanya dengan permusuhan.

Pengunjung pelbagai bangsa mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2024 sempena Hari Kebangsaan Ke-67 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 OGOS 2024.

“Tidak berbaloi untuk kita mengorbankan keamanan, hanya kerana nafsu amarah. Jangan sia-siakan keharmonian yang telah kita bina selama hampir tujuh dekad ini.

“Keamanan adalah asas kepada kestabilan negara, kunci kepada kemakmuran ekonomi, dan tiang kepada kesejahteraan sosial,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nik Elin: Jangan provokasi 3R melampau di media sosial – KPN

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI