KUALA LUMPUR – Jumlah pelancong asing yang memasuki Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, seramai 1.59 juta pelawat direkodkan memasuki negara ini melalui sempadan utara dari Januari hingga Ogos, meningkat berbanding 1.49 juta pelawat dalam tempoh yang sama pada tahun 2024.
Menurut beliau, pintu masuk Bukit Kayu Hitam di Kedah merekodkan jumlah ketibaan tertinggi dengan 479,626 pelancong, diikuti Padang Besar (515,903) dan Rantau Panjang (235,526).
“Peningkatan berterusan dalam jumlah ketibaan menunjukkan bahawa perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand kekal aktif serta terus pulih dengan kukuh selepas pandemik,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Pang Hok Liong (PH–Labis), hari ini.
Berdasarkan data Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ketibaan melalui sempadan Malaysia-Thailand menunjukkan trend pemulihan positif selepas pandemik, meningkat daripada 76,838 pelawat pada tahun 2021 kepada 1.13 juta pada 2022 dan 2.22 juta pada 2023.
King Sing menjelaskan, pemulihan itu dapat dilihat di semua pintu masuk utama sempadan termasuk Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Rantau Panjang yang secara keseluruhannya menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong setakat ini. – MalaysiaGazette


