BAGAN DATUK – Seramai 10 individu termasuk seorang wanita ditahan di sekitar Bagan Datuk dan Kuala Lumpur kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dan pemalsuan pelekat Electronic Fire Extinguisher Inspection System (eFEiS) pada alat pemadam api.
Pemangku Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, penahanan suspek yang berusia antara 21 hingga 35 tahun itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki dari Hutan Melintang pada jam 3.40 petang, 31 Disember tahun lalu.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 89 unit alat pemadam api, empat unit telefon bimbit, tujuh keping pelekat eFEiS, tiga buah motokar dan dua keping sijil kontraktor palsu dengan kerugian berjumlah RM89,000.
“Laporan tersebut menyatakan terdapat dua orang lelaki yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan alat pemadam api di premisnya dengan harga RM100 bagi setiap satu alat pemadam api.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak Bomba Hutan Melintang mendapati pelekat eFEiS pada alat pemadam api adalah palsu dan tiada dalam rekod.
“Semakan lanjut mendapati syarikat tersebut tidak dilantik dan berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan alat pemadam api,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ahli sindiket ditangkap berperanan sebagai pekerja yang ditugaskan mencari pelanggan di premis-premis perniagaan dan menawarkan perhidmatan penyelenggaraan alat pemadam api.
“Suspek terbabit turut memperbaharui serta membekalkan pelekat eFEiS palsu dan pemilik syarikat yang menjalankan perniagaan ini.
“Selain di Perak, sindiket ini dipercayai beroperasi menawarkan perkhidmatannya secara penipuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” jelasnya.
Zulkafli berkata, setakat ini, sebanyak enam laporan polis telah dibuat oleh mangsa-mangsa di Bagan Datuk dan Kampar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dicuri, dirosakkan mat rempit alasan simpan alat pemadam api