TAPAH – Baucar bernilai RM150 sudah cukup memberi kegembiraan kepada 100 kanak-kanak yang menerima sumbangan itu untuk membeli baju raya menerusi Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini pada Ahad.
Selain itu, 20 warga emas turut menerima sumbangan raya wang tunai daripada Pusat Khidmat DUN Ayer Kuning.

Penjawat awam, Mohd Fairuz Ahmad Termizi, 42, dari Kampung Jawa Tapah Road, berkata, baucar itu akan digunakan untuk membeli baju raya berwarna biru untuk anak lelakinya supaya mereka sekeluarga akan kelihatan sedondon di pagi Aidilfitri.
“Saya berasa gembira dan syukur kerana menerima bantuan ini serta dapat membeli baju raya untuk anak lelaki kami.
“Tahun ini, kami sekeluarga mungkin memakai pakaian raya sedondon berwarna biru,“ katanya ketika ditemui pada program tersebut di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini pada Ahad.

Farah Maisarah Azmi, 34, dari Kampung Bukit Pasir, yang mempunyai empat orang anak pula berkata, sumbangan ini dapat membantu meringankan beban dalam menyediakan kelengkapan hari raya untuk anak-anaknya.
“Seronok dan alhamdulilah. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Normah Abd Aziz, 70, dari Kampung S/C Bharu Redang Ponggor yang tinggal bersama anak-anaknya, bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan bagi golongan warga emas.
“Alhamdulillah saya gembira menerima sumbangan ini. Duit ini akan digunakan untuk membeli makanan,” katanya yang menghidap sakit saraf sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, program tersebut adalah salah satu daripada inisiatif Kerajaan Negeri Perak, khususnya bagi masyarakat Islam yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini.
“Penerima untuk program Meriah Beraya ini adalah seramai 100 orang. Maknanya, kanak-kanak atau remaja ini menerima sumbangan bernilai RM150 dalam bentuk baucar.

“Kita berharap ia dapat membantu persiapan hari raya mereka seperti membeli pakaian dan sebagainya,” ujarnya.
Berhubung pemilihan penerima, beliau menjelaskan, pemilihan adalah berdasarkan kelayakan dan mereka yang berada dalam kategori B40. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Setahun jadi wakil rakyat, Mohamad Yusri terus perkasa infrastruktur, kebajikan


