BAGAN DATUK – Seramai 100 orang nelayan muda kini mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang perikanan, akuakultur, pembaikan serta pembinaan kapal dan peralatan kendalian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh negara.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan lembaga itu bagi melahirkan generasi nelayan muda yang berkemahiran tinggi.
Katanya, industri perikanan pada masa kini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional atau konservatif, sebaliknya ia memerlukan kemahiran terutamanya dalam bidang akuakultur yang semakin berkembang.

“Kita pada hari ini tak boleh bergantung kepada kaedah konservatif lagi. Sebaliknya, kita sedang giat meneroka bidang akuakultur dan bidang ini juga memerlukan memerlukan kemahiran yang tinggi.
“Di samping itu juga juga memerlukan penguasaan ilmu yang baik kerana ia bukan bukan bidang yang hanya sekadar soal keringat, tetapi ia memerlukan ilmu khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM di Dewan Datuk Haji Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, di Hutan Melintang, dekat sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut Muhammad Faiz berkata, pembangunan modal insan yang berkemahiran merupakan aspek penting dalam pembinaan masa depan negara di samping selari dengan hala tuju kerajaan yang memberi penekanan kepada TVET.
Justeru kata beliau, LKIM sedang merangka pelbagai perancangan bagi menggalakkan anak nelayan serta nelayan muda mendalami bidang TVET, termasuk menjalin kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi serta pemain industri.

Muhammad Faiz berkata, antara inisiatif yang telah digerakkan adalah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam pembangunan projek akuakultur di beberapa lokasi strategik khususnya di tanah milik LKIM.
“Kita sewakan tanah kepada syarikat swasta atau persatuan nelayan dan kita cari persatuan nelayan muda untuk terlibat secara langsung dalam akuakultur.
“Proses ini sedang berjalan kerana ia memerlukan peruntukan khas serta pemain industri sebagai pemacu utama,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, LKIM juga sedang menerokai industri baharu dalam bidang perikanan iaitu SBSR atau Industri Pembuatan dan Pembaikan Kapal.
“Kita nak ramai nelayan muda yang terlibat. Mereka yang minat ke laut, tak apa lah ke laut. Yang pandai dalam akademik, pandai teruskan tapi yang minat dalam kemahiran kita ambil mereka untuk kerja di bidang ini.
“Itu antara usaha yang kita sedang buat dan ada institut berkaitan marin (Akademi Perikanan Malaysia) di Lumut dan Chendering, Terengganu,” katanya.
Terdahulu pada program, Muhammad Faiz menyempurnakan penyampaian bantuan persekolahan kepada 100 anak nelayan daerah Hilir Perak dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM10,000. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


