IPOH – Kira-kira 10,000 orang memeriahkan Konsert KAMU 2025 bersempena dengan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 yang diadakan di perkarangan Stadium Indera Mulia dekat sini, malam tadi.
Persembahan yang bermula sekitar jam 9 malam itu dibarisi kumpulan muzik terkenal tanah air iaitu Riddim Bois, Tetvangvdara, Sethpoll, iamNEETA, Floor 88 dan Bunkface.
Kesemua mereka membawakan beberapa buah lagu popular, baru dan saduran yang cukup terkenal dalam kalangan pendengar tempatan.
Turut hadir ke Konsert KAMU 2025 adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak merangkap pengarah bersama program, Mohamad Hamidi Baharuddin serta Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.
Konsert KAMU 2025 merupakan acara penutup bagi KAMU 2025 yang memasuki penganjuran edisi kali keempat.
Bertemakan ‘Meraikan Bakat Muda Perak’, karnival yang berlangsung selama dua hari sejak Sabtu itu antara lain memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program dan acara khusus untuk Orang Asli. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KAMU 2025 tumpu TVET, tampil bakat belia Orang Asli