KUALA LUMPUR – Lebih 106,000 permohonan telah diterima untuk mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara sejak awal April lalu dan dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 150,000 menjelang akhir Jun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka tersebut menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan belia terhadap bidang teknikal.
“TVET bukan lagi pendidikan kelas kedua. TVET adalah ‘game-changer’ kepada anak-anak muda kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Sambutan Hari Belia Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di sini, malam tadi.
Menurutnya, kerajaan kini mengiktiraf laluan kemahiran TVET sebagai setaraf dengan laluan akademik arus perdana.
Malah, graduan yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 dan 5 turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di institusi pengajian tinggi teknikal.
“Setelah melalui SKM Tahap 4 dan 5, ia sama taraf dengan diploma tanpa perlu melalui sistem pendidikan konvensional,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan beberapa universiti yang terbuka menerima kemasukan graduan TVET termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Selangor (UNISEL).
“Kemasukan ke institusi berkenaan tidak semestinya tertakluk kepada keputusan peperiksaan seperti SPM atau STPM, sebaliknya lebih berfokus kepada kemahiran teknikal yang dimiliki calon.
“Sistem pendidikan konvensional seperti SPM dan STPM bagus untuk pelajar cemerlang akademik tetapi saya sedar tidak semua pelajar menonjol dalam bidang itu, sebaliknya mereka cenderung kepada kemahiran teknikal,” ujarnya.
Tambah beliau, prospek kerjaya dalam sektor teknikal juga semakin meluas, merangkumi industri e-hailing, p-hailing, penghantaran makanan, perfileman dan animasi.
Selain itu, Ahmad Zahid turut menggalakkan belia menceburi bidang e-sukan yang kini berkembang pesat.
“Institusi pengajian tinggi seperti UniKL menambah kursus berkaitan bidang itu.
“Hal ini kerana penambahan bidang latihan berkaitan e-sukan bukan sahaja mencungkil dari aspek permainan, tetapi juga pembangunan perisian, pengurusan dan keusahawanan,” jelasnya.
Sambutan Hari Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 tahun ini telah diahdiri lebih 10,000 orang dengan tema ‘Yakin Boleh’.- MalaysiaGazette