109 pemaju disenarai hitam, 471 notis berjumlah RM9.03 juta – Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyenaraihitamkan 109 pemaju kerana tidak mematuhi keperluan peraturan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk melindungi kepentingan para pembeli rumah.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN), sebanyak 471 notis telah dikeluarkan pada tahun 2024 dengan denda berjumlah RM9.03 juta.

Menurut beliau, dalam dua bulan pertama tahun, JPN telah mengeluarkan 56 kompaun dengan denda berjumlah RM1.25 juta.

“Majoriti pelanggaran melibatkan kegagalan untuk mengemukakan laporan status pembangunan serta kegagalan untuk mengemukakan laporan audit termasuk kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa.

“Akibat daripada senarai hitam ini, pemaju-pemaju yang terlibat tidak akan layak untuk memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda yang tertunggak.

“Tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju ini memberi mesej yang jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan.

“Kami mengambil tindakan tegas untuk melindungi wang hasil titik peluh pembeli rumah dan memastikan mereka menerima rumah yang mereka layak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik Tahunan Ke-14 di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan nama pemaju yang telah disenarai hitam itu dan memberi amaran tegas mengenai kepentingan mematuhi peraturan perumahan.

Mengulas lanjut, Kor Ming menambah, keselamatan pembeli rumah kekal sebagai antara keutamaan kementerian.

Tegas beliau, pemaju perlu mematuhi peraturan bagi memastikan projek mereka disiapkan mengikut masa dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Saya menggalakkan pembeli rumah untuk menyemak status lesen pemaju di laman web rasmi https://teduh.kpkt.gov.my sebelum membuat sebarang komitmen kewangan bagi melakukan keputusan yang bijak ketika membeli hartanah.

“Kami komited untuk menegakkan pematuhan peraturan bagi melindungi hak pembeli rumah dan memastikan pasaran perumahan yang adil dan telus untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI