11 ditahan terlibat sindiket penipuan pelaburan kripto AI

IPOH – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak menahan 11 orang disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto menggunakan kecerdasan buatan (AI) pada 20 Januari lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua mereka ditahan ketika menganjurkan seminar pelaburan urus niaga kripto dalam satu serbuan di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita tempatan serta dua lelaki warga Filipina dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun.

11 ditahan terlibat sindiket penipuan pelaburan kripto AI
Gambar suspek kes sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto pada 20 Januari lalu, di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JANUARI 2024.

Katanya, mereka yang ditahan adalah penganjur, penaja, penceramah dan ejen mencari pelanggan yang sedang giat mempromosikan skim pelaburan semasa seminar berlangsung.

Tambahnya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah beberapa telefon bimbit, komputer riba, tablet, skrip, gegantung dan enam buah kenderaan pelbagai jenis termasuk kenderaan mewah.

“Hasil risikan dan penyamaran yang dijalankan mendapati sindiket yang menggunakan D’Luxe Crypto Trading menawarkan skim pelaburan dalam urus niaga kripto kepada 55 orang peserta berusia antara 40 hingga 60.

“Mereka yang hadir tidak dikenakan bayaran, diberikan makan percuma, disediakan hadiah serta dikaburi dengan kereta-kereta mewah untuk memancing minat, menunjukkan bahawa perniagaan mereka wujud dan berjaya,” katanya.

11 ditahan terlibat sindiket penipuan pelaburan kripto AI
Peralatan seperti telefon bimbit yang dirampas oleh pihak polis berkaitan kes sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto pada 20 Januari lalu, di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Rabu.

Ramli berkata, pelbagai pakej kripto dengan nilai antara USDT20 (RM94.58) hingga USDT10,000 (RM47,287.68) telah ditawarkan.

“Pelabur turut dijanjikan pulangan 0.5 sehingga 2.2 peratus setiap hari mengikut kadar modal yang dilaburkan.

“Sistem robot AI yang diwujudkan oleh sindiket dalam platform dalam talian itu didakwa membantu pelabur mendapatkan keuntungan dalam urus niaga kripto secara mudah dan cepat,” jelasnya.

11 ditahan terlibat sindiket penipuan pelaburan kripto AI
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kanan) menunjukkan kenderaan yang diguna oleh suspek sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto pada 20 Januari lalu, di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JANUARI 2024.

Sehubungan itu, Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dibaca di bawah Seksyen 511 akta sama.

“Kesemua mereka ditahan reman dari 20 Januari sehingga esok,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelaburan emas tidak wujud. warga emas rugi RM6.22 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI