IPOH – Jumlah mangsa banjir di daerah ini menurun kepada 11 orang dari lima keluarga yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini, setakat jam 12 tengah hari pada Rabu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa merupakan penduduk dari dua buah kampung iaitu Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan dua stesen sungai di Perak iaitu di daerah Hilir Perak dan Mualim melepasi tahap bahaya.
Stesen Sungai Bidor di Changkat Jong, Teluk Intan merekodkan bacaan 3.91 meter melebihi paras bahaya 3.50 meter, manakala Stesen Sungai Slim di Slim River merekodkan bacaan 25.03 meter.
MG Perak pada Selasa melaporkan sebuah PPS dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein.
Sebanyak 10 keluarga melibatkan 26 mangsa tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan. – MG Perak


