11 premis e-waste haram diserbu, 5,291 metrik tan disita

IPOH – Sebanyak 11 premis sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram telah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, premis-premis berkenaan terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Batu Gajah, dengan operasi penguatkuasaan itu turut mendapat bantuan risikan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, sebanyak 5,291.15 metrik tan e-waste telah disita dan tindakan penguatkuasaan melibatkan 11 premis dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK).

“Enam premis dikenakan Perintah Larangan (PL) dan 11 premis disediakan Kertas Siasatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 18, 19, 34A dan 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Teh menyatakan bahawa jika dibandingkan dengan negeri lain, JAS Johor bersama PGA telah memeriksa 10 premis e-waste haram, manakala di Selangor sebanyak 23 premis telah diperiksa sepanjang tempoh sama.

“Sehubungan itu, kita mendapati bahawa bilangan premis e-waste haram di Perak setara berbanding negeri-negeri maju lain,” jelasnya.

Katanya, untuk rekod, jumlah keseluruhan premis e-waste haram yang telah dikuatkuasakan JAS bersama PGA di seluruh Malaysia pada tahun 2025 adalah sebanyak 122 premis.

“Adalah ditegaskan bahawa salah satu punca utama pembinaan kilang e-waste haram adalah akibat kemasukannya secara haram dari luar negara ke Malaysia dalam kuantiti yang banyak melalui pelabuhan-pelabuhan.

“Bagi memastikan aktiviti kilang e-waste haram di Malaysia dan Perak amnya dihentikan, tindakan pemantauan yang ketat harus dilakukan di pelabuhan supaya tiada kemasukan e-waste haram dibawa masuk ke Malaysia.

“Jika kawalan kemasukan e-waste haram ke Malaysia dapat dikawal, maka secara tidak langsung aktiviti premis proses e-waste haram di Perak akan dapat dibendung.

“Dalam hal ini, agensi-agensi yang mengawal kemasukan barangan ke dalam negara di pelabuhan dan sempadan negara dimohon meningkatkan kawalan di bawah bidang kuasa masing-masing,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

RM31.3 Juta e-waste dirampas dalam serbuan kilang haram di Parit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI