TAPAH – Sejumlah 1,114 pegawai dan anggota polis daripada kontinjen Perak akan bertugas sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang bermula dengan proses penamaan calon esok.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata daripada jumlah itu, 778 pegawai dan anggota akan ditugaskan esok manakala 732 lagi sepanjang tempoh berkempen, sementara kesemua 1,114 pada hari mengundi.
“Kita harap langkah yang kita ambil ini sebagai langkah pencegahan yang telah kita kenal pasti dapat mengurangkan insiden tidak diingini,” katanya pada sidang media berkaitan persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak sempena menghadapi PRK N48 Ayer Kuning di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan bakal calon serta parti politik bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan undang-undang berkaitan pilihan raya akan digunakan sepanjang kempen berlangsung.
“Saya juga ingin menasihatkan supaya semua, sama ada pihak yang bertanding mahupun penyokong dan orang awam sentiasalah mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisam berkata polis akan membuat pelencongan dan penutupan jalan seawal 7 pagi esok hingga kira-kira 12.30 tengah hari untuk proses penamaan calon melibatkan antaranya simpang utama ke Dewan Merdeka, Jalan Stesen dan simpang Jalan Raja.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.
— BERNAMA