TAPAH – Sebanyak 116 kertas undi pos telah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi yang berhak bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Isnin.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh Petugas Pilihan Raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.
“Kertas undi pos yang telah dikeluarkan adalah terdiri daripada 113 undi pos bagi Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya dan Anggota Polis) dan tiga undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang menetap di luar negara).
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), sebelum membuat penandaan pada kertas undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau undi pos berkenaan perlu dikembalikan dengan segera kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 26 April 2025.
Katanya lagi, pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. -MG Perak