IPOH – Satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-30 tahun 2025 (ME 30/2025) bagi tempoh 20 hingga 26 Julai lalu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, jumlah kumulatif bagi kematian denggi itu menurun berbanding sembilan kes untuk tempoh yang sama pada tahun 2024.
Menurutnya, kematian itu melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun pada 23 Jun lalu di Kawasan Perindustrian Tasek dalam daerah Kinta.
“Sebanyak 21 kes Denggi didaftarkan berbanding 137 kes pada ME yang sama tahun 2024.
“Terdapat penurunan kes yang didaftarkan berbanding minggu sebelumnya iaitu sebanyak 10 kes.
“Jumlah kumulatif kes denggi pada tahun 2025 adalah 1,213 kes berbanding tahun 2024 iaitu 5,058 kes pada tempoh yang sama, terdapat penurunan kes sebanyak 76 peratus (3,845 kes),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Sistem Pengurusan Digital Berasaskan Awan (CCMS) di Klinik Kesihatan (KK) Buntong di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata, sistem CCMS menyokong capaian data masa nyata dari mana-mana lokasi yang mempunyai sambungan internet, sekali gus memperkukuh kesinambungan rawatan antara fasiliti kesihatan.
Katanya, sebanyak tiga KK telah dipilih bagi fasa pertama pelaksanaan CCMS melibatkan KK Felda Bersia (Hulu Perak), KK Kampar (Kampar) dan KK Tanjung Malim (Muallim) di Perak.
“Kini, sebanyak 16 buah KK telah dikenalpasti untuk pelaksanaan sistem ini melibatkan enam daerah di negeri ini antaranya, KK Gunung Rapat (Kinta), KK Taiping (Larut Matang dan Selama), KK Tapah (Batang Padang), KK Bagan Serai (Kerian), KK Kuala Kangsar (Kuala Kangsar) dan KK Sitiawan (Manjung).
“Pembekalan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diperlukan bagi menyokong operasi sistem CCMS telah diagihkan sepenuhnya ke semua 16 klinik terlibat pada tahun 2025,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: