IPOH – Seramai 125 anggota perkhidmatan awam Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis yang diadakan di Dewan Jubli Perak Politeknik Ungku Omar (PUO), dekat sini, pada Khamis.
Dalam satu kenyataan ia maklumkan, kesemua penerima membabitkan 85 orang dari Politeknik, termasuk 49 dari PUO serta 40 dari Kolej Komuniti.
Katanya, semua penerima menerima sijil dan wang tunai bernilai RM1,000 yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti, Muhamad Rumzi Mamat.
Menurutnya lagi, majlis itu diadakan sebagai memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.
“APC ini akan memberikan motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga POLYCC dalam membentuk ekosistem pekerjaan cemerlang selaras dengan hala tuju kerajaan.
“Namun ia bukanlah menjadi titik noktah kepada usaha berterusan untuk mengangkat martabat Pendidikan TVET ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Muhamad Rumzi ketika menyampaikan ucapan perasmian menekankan keperluan bekerja dengan penuh dedikasi yang tinggi, kesungguhan yang luar biasa, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas.
Justeru beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan itu diharap mampu menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada penerima untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang.
“Penambahan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan juga mengamalkan nilai-nilai murni serta ciri-ciri peribadi yang positif termasuk mengutamakan aspek integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas.
“Runtuhnya nilai integriti akan menyebabkan berlakunya pelbagai kepincangan seperti berlakunya penyelewengan untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya,” ujarnya.
Selain itu, Muhamad Rumzi turut mengingatkan bahawa APC bukan satu pengukur pencapaian kecemerlang tertinggi sebaliknya masih banyak yang boleh disumbangkan melalui idea dan khidmat bakti.
“Jadikan penganugerahan ini sebagai satu cabaran dan inspirasi semua warga kerja dalam usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.
“Saya yakin dan percaya bahawa pemilihan penerima APC adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang telah dibincangkan dan diperhalusi sebaiknya,” tambahnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: