13 guni benih kerang berjaya dirampas

LUMUT –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak merampas 13 guni benih kerang di persisiran pantai Tanjung Kepah, Lekir di sini sekitar jam 12.15 tengah malam, tadi.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, benih kerang yang dirampas dengan anggaran berat 390 kilogram itu bernilai hampir RM5,000.

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil maklumat risikan, intipan dan pemantauan berterusan berikutan terdapat sindiket tempatan yang giat melakukan aktiviti mencuri benih kerang di sekitar perairan negeri ini.

“Berikutan itu, Maritim Perak telah ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pengawasan serta mengesan dua orang suspek bersama sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan berada di persisiran pantai untuk mengambil benih kerang yang ditinggalkan.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Ketika operasi dijalankan, sebanyak 13 guni putih berisi benih kerang ditemui, kemudiandirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002 iaitu larangan menjual benih kerang tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang Sabtu.

13 benih kerang berjaya dirampas
Sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) dirampas di kedudukan sekitar 4.0 batu nautika barat daya Pulau Talang, Tengah hari semalam. Foto ihsan Maritim Perak

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Mohd Hambali memaklumkan sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) dirampas di kedudukan sekitar 4.0 batu nautika barat daya Pulau Talang, Tengah hari semalam.

Katanya, bubu berukuran 10 meter panjang ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sayong, Op Pintas, Op Tanjung dan Op Tiris di kawasan berkenaan.

Tambahnya, terdapat kain berwarna oren yang mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada sebatang pancang kayu beserta botol serta dijadikan pelampung dan disyaki penanda bubu naga di perairan itu.

“Tinjauan anggota bot ronda turut mengesahkan pancang kayu itu dijadikan sebagai penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Ujarnya, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM2,000 itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Maritim Perak rampas 28 set bubu naga di perairan Lumut

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI