IPOH – Konvoi van yang membawa 13 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggalkan pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini menuju ke Terengganu jam 8.55 malam tadi.
Perjalanan bermula sebaik saja proses bedah siasat ke atas kesemua jasad mangsa yang terkorban dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik awal pagi tadi selesai.
Difahamkan, kesemua jenazah akan dibawa ke Masjid Hadhari di Bandar Jerteh, Besut, Terengganu untuk disolatkan sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing di sekitar Terengganu.
Perjalanan yang diiringi polis, sebahagian ahli keluarga dan pengurusan UPSI bermula dari Ipoh, Gerik, Jeli, Tanah Merah, Machang dan berakhir di Bandar Jerteh.
Perjalanan dijangka mengambil masa lima jam setengah dan dijangka tiba sekitar jam 2.30 pagi.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan proses bedah siasat kesemua 13 jenazah selesai jam 6.15 petang.
Jenazah kemudiannya dimandi dan dikafankan sebelum dibawa masuk ke dalam van.
Dua lagi jenazah yang dibedah siasat di Hospital Gerik telah dihantar pulang ke Terengganu pada petang tadi.
Kejadian kemalangan ini turut menyebabkan 27 penuntut cedera, selain pemandu dan kelindan bas.
Empat sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang melibatkan suami isteri berusia 37 dan 36 tahun serta sepasang anak mereka berumur tiga dan enam tahun turut terbabit dalam nahas tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemilik ‘dashcam’ sudah tampil bantu siasatan nahas pelajar UPSI – Polis