1,300 kes seksual dewasa direkodkan Jan- April 2025

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,300 kes rogol, sumbang mahram, cabul kehormatan dan gangguan seksual melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas direkodkan dalam tempoh Januari hingga April 2025, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, angka itu membimbangkan dan memerlukan intervensi segera termasuk melibatkan golongan mahasiswa sebagai barisan hadapan kesedaran sosial.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan, sebab itu kita melaksanakan intervensi melalui program Skuad Waja Siswa bagi memberi ilmu kepada mahasiswa.

“Kita khususnya akan mengajar bagaimana membuat laporan sekiranya ada dalam kalangan jiran tetangga atau rakan-rakan yang mereka syak menjadi mangsa serta apa yang perlu dilakukan dalam menghadapi masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Skuad Waja Siswa Peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Tan Sri Anuddin Wahid, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, hari ini.

Noraini turut mendedahkan, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 9,737 kes kehamilan luar nikah melibatkan remaja perempuan berumur 10 hingga 19 tahun antara 2020 hingga 2024, bersamaan 0.33 peratus daripada 2.89 juta remaja perempuan di negara ini.

Dalam tempoh sama, seramai 1,091 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dijangkiti HIV termasuk 222 kes pada tahun lalu bagi kumpulan umur 18 hingga 19 tahun.

Mengulas lanjut, Noraini berkata penganjuran Skuad Waja Siswa merupakan kali pertama diperluas secara khusus ke peringkat universiti dengan kerjasama UTM, namun penyertaannya tidak terhad kepada mahasiswa universiti itu sahaja.

“Program ini bertujuan memberi kesedaran, menyampaikan ilmu dan kemahiran agar mahasiswa lebih peka dengan cabaran semasa khususnya berkaitan gangguan seksual. Pada masa sama, kita turut memberi penerangan tentang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada remaja.

“Selepas ini, kita akan pergi ke tempat-tempat lain untuk mengembangkan lagi Skuad Waja Siswa,” ujarnya.

Skuad Waja merupakan program sukarelawan yang diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat membanteras keganasan terhadap wanita. Sehingga Ogos 2025, ia telah melibatkan 339,198 ahli di seluruh negara terdiri daripada 263,158 wanita dan 76,040 lelaki.

Bagi menyantuni golongan belia dan menangani peningkatan kes jenayah dalam kalangan mahasiswa, keahlian Skuad Waja diperluas ke IPT pada tahun ini melalui Skuad Waja Siswa.

Sehingga kini, seramai 2,129 mahasiswa dari seluruh negara telah menyertai skuad itu dengan modul yang dibangunkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) berfokus kepada ilmu psikologi asas serta maklumat berkaitan jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI