MANJUNG – Kerajaan Negeri Perak menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menyasarkan untuk menyiapkan tiga lagi projek Rumah Perakku dan Rumah Perwira pada tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia akan menjadikan keseluruhan 14 projek siap yang melibatkan 1,388 unit Rumah Perakku dan 882 unit Rumah Perwira di seluruh negeri.
Menurutnya, pendekatan dasar perumahan negeri berasaskan 3A iaitu Availability (ketersediaan), Affordability (kemampuan) dan Accessibility (kebolehcapaian), terus menjadi panduan.
“Setiap projek perumahan melebihi 8.094 hektar diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya 40 peratus rumah mampu milik dengan harga siling maksimum RM90,000 (Perakku I), RM160,000 (Perakku II) dan RM250,000 (Perakku III).
“LPHP turut menjalinkan kerjasama strategik bersama institusi kewangan bagi memudahkan akses pembiayaan, terutama kepada golongan muda dan keluarga baharu yang ingin memiliki rumah pertama.
“Dalam menghadapi cabaran kos pembinaan yang kian meningkat, kerajaan negeri tetap komited memastikan harga rumah kekal mampu milik tanpa berkompromi terhadap kualiti.
“Justeru, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara LPHP dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi menyeragamkan reka bentuk dan spesifikasi rumah serta mengawal kos dengan lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci bagi pembeli Rumah Perakku di Taman Perakku, Batu 14 Lekir, Sitiawan pada Khamis.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Dalam pada itu, Saarani berkata, projek Rumah Perakku di Taman Perakku, Batu 14 Lekir dibina di atas tanah seluas 1.7 hektar dengan sokongan dana mudahcara serta subsidi infrastruktur RM3 juta daripada kerajaan negeri bagi memastikan kemudahan asas lengkap disediakan.
“Setelah melalui cabaran termasuk pandemik COVID-19, projek ini berjaya disiapkan dan mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), membolehkan penyerahan rasmi dilakukan pada hari ini.
“Projek 60 buah rumah teres setingkat kos rendah yang dilaksanakan hasil kerjasama antara LPHP dan pemaju Seri Bumi Makmur Sdn Bhd bermula sejak April 2018 ditawarkan pada harga serendah RM85,000, iaitu jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” ujarnya.
Rumah tersebut dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan ruang parkir, sesuai untuk keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. – MG Perak
Artikel Berkaitan: