BAGAN DATUK – Lebih 14,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri 2026 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini, pada Sabtu.
Majlis anjuran Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diadakan bagi meraikan masyarakat setempat dan luar yang berkunjung merayakan Aidilfitri.
Orang ramai mula membanjiri perkarangan Dewan Dato’ Lope Hashim seawal jam 6.30 petang meskipun majlis bermula jam 7 malam.
Pelbagai juadah dihidangkan kepada pengunjung antaranya kambing bakar, lemang, ketupat, soto, mee kari, mee rebus dan lain-lain lagi.

Ketibaan Ahmad Zahid sekitar jam 8.40 malam disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta pengunjung yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan beliau.
Hadir sama meraikan majlis Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Naib Presiden MIC, Tan Sri M Ramasamy serta beberapa pemimpin lain.
Ahmad Zahid turut memberi duit raya kepada kanak-kanak yang berkunjung ke majlis berkenaan sebelum meninggalkan majlis sekitar jam 10.30 malam. -MG Perak



