1,476 calon gagal subjek Pendidikan Islam SPM 2023

IPOH – Seramai 1,476 calon yang menduduki kertas Pendidikan Islam gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, jumlah itu mewakili 9.8 peratus pelajar daripada 15,058 calon yang menduduki subjek tersebut.

Menurutnya, antara punca utama pelajar gagal dalam subjek berkenaan berpunca daripada ketidakhadiran pelajar ke sekolah serta mereka tidak dapat menguasai ilmu yang telah diajar oleh guru di dalam kelas.

“Sehubungan itu, beberapa kaedah intervensi atau dalam kata lain bimbingan, pemulihan, khidmat nasihat bagi membantu pelajar diusahakan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Antara intervensi yang dilaksanakan adalah JPN melalui Yayasan Perak menyediakan bahan dan modul yang dinamakan MUMTAZ bagi membantu bakal calon-calon SPM 2024.

“Selain itu, pelaksanaan Program Tuisyen Mumtaz bagi semua mata pelajaran di bawah kluster Sektor Pendidikan Islam, JPN secara dalam talian khusus untuk murid-murid GALUS di negeri ini.

“Di samping itu, pelaksanaan Kelas Tuisyen Cikgu Saarani turut membantu murid cicir,” katanya demikian ketika menjawab soalan lisan Salina Samsudin (BN-Behrang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Khairudin berkata, JPN juga akan terus memberikan bimbingan berterusan kepada semua guru-guru Pendidikan Islam dalam pembinaan dan penandaan item Pendidikan Islam.

“Kita juga akan menerapkan nilai karamah insaniah kepada semua murid beragama Islam dengan melaksanakan Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) dan Penghayatan Hadis 40 di sekolah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap intervensi yang dilaksanakan dapat membantu bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam subjek Pendidikan Islam serta meningkatkan jumlah calon yang lulus semasa peperiksaan SPM. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tidak minat duduki SPM alasan calon di Perak enggan hadir peperiksaan

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI