1,544 ekar tanaman nanas di Perak setakat Mac 2025

LARUT – Industri nanas di Perak menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan keluasan tanaman mencapai 1,544 ekar sehingga Mac tahun ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zolkafly Harun berkata, keluasan tanah berkenaan melibatkan seramai 493 pengusaha aktif melibatkan varieti utama yang ditanam Moris dan MD2.

Menurut beliau, usaha memperkasa penyertaan belia dalam tanaman nanas juga berjaya di mana 17 peserta dari golongan berkenaan menerima Geran Agropreneur Muda berjumlah RM410,000 secara keseluruhan.

“Potensi industri nanas turut diperkukuh melalui elemen agropelancongan menerusi lokasi seperti Resort D’Rumah Bonda di Kuala Kangsar yang menggabungkan elemen pelancongan dan pertanian.

“Negeri Perak juga terkenal dengan lokasi-lokasi perkhemahan (campsite) yang mendapat sambutan pelancong dan sesuai dijadikan platform promosi produk tempatan berasaskan nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Jelajah Hari Nanas Malaysia (HANA) Negeri Perak 2025 di SAS Homestay & Campsite Sungai Siputeh, Selama di sini pada Isnin.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun pada sidang media Jelajah Hari Nanas Malaysia (Hana) Negeri Perak 2025 di SAS Homestay & Campsite Sungai Siputeh, Selama hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 MEI 2025.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh.

Pada majlis sama Zolkafly turut menyampaikan replika cek Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2025; Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi Tahun 2025; Program Geran Agropreneur Muda; Program Infrastruktur MyGAP dan Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP).

Zolkafly berkata, industri nanas bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan, tetapi juga menjana pendapatan lumayan kepada usahawan luar bandar.

LPNM juga menganggarkan bahawa usahawan nanas mampu memperoleh pendapatan sehingga RM8,000 sebulan secara berperingkat dengan amalan pertanian moden dan strategi pemasaran yang berkesan.

“Kerajaan Negeri Perak komited untuk memperkukuh sokongan terhadap sektor ini termasuk usaha memperluas pasaran tempatan dan antarabangsa, mendorong inovasi dalam teknik penanaman dan pemprosesan, serta merakyatkan nanas sebagai lambang pertanian moden yang progresif,” katanya.

Untuk rekod Tapah Road dan Gerik merupakan antara lokasi tanaman nanas paling luas di negeri ini. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gajah liar serang rumah, tanaman nanas di Pos Perwor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI