IPOH – Sebanyak 16,111 jumlah kes kebakaran melibatkan struktur dan kenderaan diseluruh negara direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang tahun lalu, dengan melibatkan anggaran kerugian berjumlah RM2.09 bilion.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, namun sebanyak RM6.44 bilion nilai harta berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam penugasan operasi tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh sama, sebanyak 98 kes kematian direkodkan dengan 77 terbabit dalam insiden kebakaran struktur dan selebihnya kebakaran kenderaan.

“Secara umumnya, JBPM merekodkan 76 peratus kes kebakaran struktur dan 24 peratus kes kebakaran kenderaan.
“Berdasarkan kepada analisis kes bulanan pula, Julai merupakan bulan tertinggi dengan merekodkan 1,448 insiden sementara November merupakan bulan kes terendah dengan 1,211 kes dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan JBPM di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya, dekat sini, pada Selasa.
Program yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA) Kebangsaan itu turut dihadiri Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.
Mengulas lanjut Ahmad Izram berkata, berdasarkan kepada pecahan kes mengikut negeri, Selangor merupakan negeri tertinggi dengan 3,657 kes atau bersamaan 23 peratus daripada jumlah di seluruh negara.
Kata beliau, ia diikuti dengan Johor (1,996 kes), Perak (1,826 kes), Kuala Lumpur (1,332 kes) serta Pulau Pinang (1,192 kes), sementara Sabah merekodkan kes kematian tertinggi dengan membabitkan 21 mangsa.
“Daripada sudut nilai kerugian akibat kebakaran Selangor dan Johor berada pada negeri tertinggi dengan masing-masing merekodkan RM543.6 juta dan RM477.3 juta,” ujarnya.
Mengulas tentang program, Ahmad Izram memaklumkan, ia bertujuan bagi memperkukuh usaha menjaga kebajikan pegawai dan anggota bomba yang terkesan akibat musibah, bencana serta kemalangan.

Kata beliau, ia juga sebagai usaha menyemai semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan warga JBPM.
“Melalui platform persatuan kebajikan, bantuan kewangan dapat disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan kepada ahli yang memerlukan, termasuk kepada 12 orang mangsa bencana banjir yang melanda Perak sebelum ini,” jelasnya.
Beliau berkata, sehingga Disember lalu, keahlian Persatuan Kebajikan JBPM Negeri Perak telah mencapai 98.2 peratus, sekali gus memastikan setiap kebajikan anggota yang ditimpa musibah tidak tercicir daripada menerima bantuan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan lulus RM53.8 juta untuk JBPM tahun ini


