IPOH – Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang menyalurkan bantuan sebanyak RM23,000 kepada 17 keluarga yang terjejas akibat ribut di Taman Star dan Kampung Kepayang menjelang Tahun Baru Cina pada minggu lalu.
Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Wong Kar Keat berkata, kejadian itu berlaku sewaktu cuti hujung minggu yang panjang sehingga menyukarkan usaha pembaikan dan menjejaskan kehidupan harian mangsa.
Menurutnya, jumlah bantuan yang diberikan adalah antara RM1,000 hingga RM3,000 untuk setiap keluarga mengikut tahap kerosakan.
“Bagaimanapun, selepas berlakunya kejadian tersebut, Pusat Khidmat ADUN Kepayang telah segera menghubungi pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mengumpul dan mengesahkan maklumat mangsa yang terlibat.
“Pada masa sama kami juga mengatur penginapan sementara di hotel berhampiran bagi keluarga yang kediamannya tidak selamat untuk didiami, tanpa perlu bimbang mengenai kos,” katanya selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada keluarga terlibat pada Sabtu.
Katanya, jumlah itu terhad dan tidak dapat menampung sepenuhnya kerugian mangsa akibat ribut, ia diharapkan dapat meringankan beban bagi keluarga mangsa segera pada saat mereka memerlukan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ujian Ramadan, banjir lumpur musnahkan kelengkapan pusat jagaan anak yatim


