1,808 perwakilan MIC bakal tentukan hala tuju dalam BN

SHAH ALAM – Perhimpunan Agung MIC ke-79 hari ini bakal menentukan hala tuju parti masyarakat India itu sama ada kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau beralih arah kepada kerjasama dengan pakatan politik baharu.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, seramai 1,808 perwakilan MIC yang hadir dalam mesyuarat tahunan itu akan menentukan perjalanan politiknya menerusi sesi usul dan perbahasan pada sebelah petang ini.

“Perkara di hadapan kita bukan sekadar satu lagi agenda tetapi suatu perkara cukup penting menentukan hala tuju parti kita.

“Kami mempercayai anda, para perwakilan sebagai penjaga mandat kami untuk menentukan alternatif yang paling berdaya maju untuk MIC dan untuk merangka hala tuju ke hadapan dengan jelas dan tepat.

“Keputusan anda hari ini akan menentukan hala tuju, kekuatan dan kerelevanan kita untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung MIC ke-79 di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menerusi klip video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya mendedahkan kononnya MIC bakal keluar daripada BN, November ini.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa, beliau memperoleh maklumat itu daripada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika sambutan Deepavali di kediaman Ahli Parlimen Tapah itu, pada 22 Oktober lalu.

Menurut Tajuddin, Saravanan dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang mendorong MIC membuat keputusan untuk meninggalkan BN.

Vigneswaran juga berkata, sekiranya perwakilan tidak dapat membuat keputusan tersebut, beliau meminta mereka memberi kepercayaan dan mandat kepada Jawatankuasa Kerja Pusat dan kepimpinan tertinggi MIC.

“Ia membolehkan kami bertindak dengan amanah yang dipertanggunjawabkan demi memastikan apa yang terbaik untuk masa depan parti kita.

“Inilah persimpangan jalan kita. Satu saat yang akan bergema jauh di sebalik dewan ini. Hala tuju terletak pada pilihan anda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI