TANJUNG MALIM – Seramai 19 orang yang terperangkap di Risda Eco Park, Kampung Ulu Slim, Slim River dekat sini semalam, dijangka akan dibawa keluar pada hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu mereka dipercayai tidak dapat keluar dari kawasan itu selepas jambatan menghubungkan kawasan tersebut dengan jalan utama susulan kejadian kepala air dan pokok tumbang.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, sehingga kini mangsa yang terperangkap di Risda Eco Park hanya 19 orang di agensi keselamatan akan membawa mangsa keluar dalam masa terdekat setelah air surut dan tempatkan mereka di pusat penempatan sementara (PPS) berhampiran.
“Melalui pasukan penyelamat daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) bersama agensi penyelamat lain masih berada di lokasi untuk menyelamat mangsa dan memastikan mereka yang berada dalam keadaan keselamatan yang baik.
“Tindakan susulan kita akan menentukan mereka yang berada di kawasan ini supaya menasihati orang ramai supaya berhati-hati apabila bercuti di tepi sungai pada musim cuti.
“Selain itu, kita minta orang ramai supaya merujuk kepada agensi kaji cuaca dan lain-lain untuk memberi pandangan dan nasihat sebelum bercuti di kawasan yang berpontensi dilanda bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan tinjauan di Jambatan Slim River – Behrang Ulu pada Sabtu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi menyelamat mangsa terperangkap di kawasan perkhemahan diteruskan dan anggota serta pegawai berada dalam keadaan bersedia di seberang jambatan yang menghubungkan laluan ke tapak perkhemahan kira-kira 800 meter.
Menurutnya, seramai sembilan dewasa dan 10 kanak-kanak berada di tapak perkhemahan tersebut.
Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja menyelamat mangsa.
“Kesemua mangsa berada di khemah masing-masing dan dilaporkan selamat dan stabil menurut sumber dari pengurus tempat rekreasi berkenaan.
“Ketua Operasi memantau keadaan air sungai yang masih belum surut dan menunggu keadaan air pulih sehingga dapat ke lokasi.
“Tiada akses lain untuk menyeberangi seterusnya ke lokasi kejadian. Trend air menurun namun arus masih deras,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
109 terperangkap, tiga jambatan runtuh akibat empangan pecah