TAPAH – Lebih 2.6 juta kampit beras putih tempatan sudah berada dalam pasaran di seluruh negara setakat ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia melibatkan 21,190 premis peruncitan seperti pasar raya, kedai runcit dan sebagainya.
Katanya, ia sebahagian usaha kerajaan dalam mencukupkan bekalan 24 juta kampit bekalan beras bersubsidi pada harga RM26 10 kilogram (kg).
“Misalnya premis-premis perniagaan seperti pasar raya besar dan pasar mini di kawasan bandar sudah sampai (bekalan beras putih tempatan).
“Akan tetapi ada lagi (premis) di kawasan-kawasan pedalaman yang belum sampai (bekalan beras berkenaan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Libat Urus Besama Pemimpin Peladang Negeri Perak di Perkarangan Bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Mahfuz Omar serta Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Fauzi Badron.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, susulan itu pihaknya telah mengarahkan agensi dan jabatan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan bekalan sumber ruji makanan rakyat Malaysia itu dapat sampai ke sasaran.
Selain itu beliau turut berharap agar PPK di seluruh negara turut dapat segera membantu KPKM dalam usaha berkenaan.
Menurut Mohamad, walaupun bekalan beras putih tempatan lebih mudah didapati di kawasan bandar, namun ia kurang mendapat sambutan terutama kepada golongan M40.
“Jika di bandar-bandar pula, sekarang ini beras putih tempatan bukan jadi rebutan pun.
“Ini kerana bagi mereka di kelas pertengahan (khususnya), harga beras RM32 atau RM33 (dibandingkan) dengan harga beras RM26, mereka tak berapa peduli sangat.
“Jadi kita rasa mesti digerakkan lebih kepada kampung-kampung ini kerana mereka perlukan harga yang lebih rendah,” ujarnya lagi.
Februari lalu, media melaporkan KPKM memberi jaminan 24 juta beg kg beras putih tempatan bersubsidi akan berada di pasaran seluruh Semenanjung.
Pembelian itu dihadkan kepada dua kampit setiap bulan bagi 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan dijual pada harga RM26.
Sementara itu pada majlis, Mohamad turut menyampaikan cek cura bernilai RM573,920 kepada 43 penerima di bawah Program Pembangunan Industri Buah-buahan, Kelapa dan Tanaman Kopi daerah Batang Padang bagi tahun 2025.
Turut disampaikan peruntukan Program Pembangunan Industri Sayur-sayuran, Tanaman Kontan dan Bawang Merah kepada 56 penerima bantuan berjumlah lebih RM1.37 juta. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Amalan campur beras tempatan, import berlaku sejak 1970an – Mat Sabu