PARIT BUNTAR – Sebanyak 20 buah motosikal pelbagai jenama musnah dalam kebakaran di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan motosikal di Lorong Parit 1 Titi Serong, Kampung Kedah, awal pagi Isnin.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.50 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut dan turut mereka turut mendapat bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Serai, Bagan Tiang dan Kuala Kurau.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan kira-kira 20 x 70 kaki yang dijadikan stor penyimpanan motosikal serta peralatan motosikal dan musnah terbakar sebanyak 70 peratus.
“Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta Honda FD yang terbakar lima peratus, manakala 20 buah motosikal terdiri daripada motosikal baharu, lama serta milik pelanggan musnah terbakar hampir 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pasukan bomba melaksanakan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dikawal.
“Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.50 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelancong wanita warga Taiwan lemas ketika aktiviti snorkeling


