21 laluan blackspot, 43 lokasi hotspot di Perak dikenal pasti

TAIPING –Polis Perak mengenal pasti sejumlah 18 laluan jalan di negeri ini sebagai kawasan tumpuan kadar kemalangan tinggi (blackspot) menjelang perayaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, selain itu sebanyak 43 lokasi yang menjadi laluan sesak (hotspot) di Perak turut dikenal pasti sepanjang musim perayaan ini.

Menurutnya, antara kawasan blackspot tersebut termasuklah Kilometer (KM)114 – KM117 Jalan Ipoh-Butterworth; KM84 Jalan Ipoh-Butterworth (lampu isyarat Simpang Halt); KM25 Jalan Kuala Kangsar-Gerik (Sauk) dan Batu 3 – 28 Jalan Tapah-Cameron Highlands.

“Bagi kawasan hotspot pula antara laluan yang dikenal pasti termasuklah simpang tiga lampu isyarat Plaza Tol Simpang Pulai, Jalan Kamunting Lama, KM15.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dan KM18 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang berhampiran lampu isyarat simpang empat Hutan Melintang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2025 Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix.

21 laluan blackspot, 43 lokasi hotspot di Perak dikenal pasti
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Saariat ketika gimik pelancaran Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2025 Peringkat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Changkat Jering, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 JANUARI 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkafli berkata, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak akan mempertingkatkan pemantauan kelancaran aliran lalu lintas dan penguatkuasaan sepanjang Op Selamat 23 yang dilaksanakan selama enam hari bermula 28 Januari hingga 2 Februari.

“Operasi kali ini akan melibatkan seramai 250 orang pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya semasa perayaan.

“Sepanjang tempoh operasi ini dijalankan, JSPT Perak akan menumpukan perhatian khusus kepada enam kesalahan trafik yang telah dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Kesalahan yang menjadi fokus utama adalah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan supaya tidak terlibat dengan kesesakan lalu lintas dan membuat pemeriksaan kenderaan terlebih dahulu sebelum bergerak ke destinasi.

“Di samping itu, pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang – undang jalan raya demi menjamin keselamatan bersama,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 3 juta kenderaan dijangka memasuki Perak sempena Tahun Baharu Cina

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI