IPOH – Sebanyak 216 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di seluruh negara dijangka siap menjelang akhir tahun ini dalam usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merealisasikan agenda pembangunan 1,000 TRM menjelang 2035.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu sebanyak 12 TRM telah berjaya siap dibangunkan di bandar raya ini dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta yang disalurkan kerajaan pada tahun lalu.
Katanya, projek berkenaan menunjukkan kesungguhan kerajaan MADANI dalam menyediakan persekitaran hidup bandar yang lebih selesa, selamat, lestari dan inklusif untuk rakyat.
“Pada tahun pertama pelaksanaan, kita berjaya menyiapkan 109 TRM, yang mana ia berjaya melepasi sasaran 100 TRM. Menerusi jumlah itu, ia bakal menjadikan 216 TRM dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Taman rekreasi ini bukan sekadar ruang riadah, malah berfungsi sebagai terapi minda dan jiwa, tempat masyarakat berehat selepas penat bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan empat TRM, pada Sabtu.
TRM berkenaan adalah TRM Taman Pusing Baru, di Batu Gajah; serta TRM Taman Kledang, TRM Taman Pengkalan Barat dan TRM Taman Westpool dekat sini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, setiap TRM dibina perlu mematuhi syarat mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan mesra warga emas selain lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi menggalakkan gaya hidup sihat yang inklusif bagi semua lapisan masyarakat.
Menyentuh isu kerosakan akibat vandalisme di TRM, Kor Ming mengakui masih ada laporan kecil namun menegaskan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Negara sudah merdeka lebih 68 tahun, rakyat mesti matang menjaga kemudahan awam.
“Saya berharap kita menuju ke arah sifar vandalisme. Ipoh wajar menjadi contoh bandar orang hebat, iaitu mereka yang menjaga kebersihan dan mempunyai kesedaran sivik tinggi,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: