IPOH – Seramai 250 keluarga dari golongan miskin dan miskin tegar di negeri Perak menerima sumbangan Baucar Kelengkapan Persekolahan bernilai RM400 setiap satu menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2026 di bawah inisiatif Sejahtera MADANI.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia merupakan sumbangan tambahan kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang melibatkan penerima yang berdaftar di bawah sistem eKasih.

Katanya, program berkenaan merupakan usaha dalam membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan untuk menampung keperluan persekolahan anak-anak.
“Ini merupakan salah satu inisiatif Sejahtera MADANI yang mana kesemua mereka ini berada dalam senarai sistem eKasih di bawah Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Kita berharap usaha ini dapat memberi kelegaan kepada keluarga yang terlibat khususnya dalam melakukan persediaan untuk anak mereka menjelang pembukaan sesi persekolahan yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan Program Kembali Ke Sekolah kepada 50 penerima di Pasaraya Borong Sakan Klebang, dekat sini, pada Rabu.
Program itu merupakan anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Perak ICU JPM dengan kerjasama strategik Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd.

Menurut Muhammad Kamil, sekiranya ada keluarga yang mendapati tercicir daripada menerima bantuan terbabit, mereka diminta tampil ke pejabat ICU atau pejabat daerah dan tanah untuk tindakan lanjut.
“Kita akan melihat dan meneliti semula permohonan mereka ini untuk memastikan mereka layak menerima bantuan, dan itu akan diselaraskan di peringkat ICU serta pejabat daerah dan tanah,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut diminta mengulas berkenaan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperluas sehingga 10,000 pendaftaran baharu program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada peniaga kecil termasuk pengusaha kedai runcit.

Muhammad Kamil berkata, ia bukan sahaja dapat memudahkan penduduk di luar bandar menikmati manfaat SARA, malah dapat merancakkan lagi ekonomi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) khususnya di luar bandar.
“Usaha ini dapat memberi juga kelegaan tidak hanya sekadar kepada pengguna dan juga rakyat, tetapi juga kepada mereka yang menjalankan perniagaan.
“Ini kerana, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka meningkatkan hasil jualan, jika mereka turut terlibat dalam program SARA ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


