TAPAH – Seramai 26 lelaki termasuk seorang wanita warga Indonesia dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam perjudian sabung ayam, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mereka yang berusia antara 31 hingga 50 tahun itu ditahan sekitar jam 2 petang.
Menurutnya, serbuan dan tangkapan menerusi Op Dadu itu dilakukan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
“Dalam operasi itu, kita berjaya merampas 49 ekor ayam laga, lima buah sangkar besi, 22 buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM18,314.
“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 32(1) (a) dan Seksyen 32(2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015. – MG Perak
Artikel Berkaitan: