289 doktor, 73 jururawat di Perak letak jawatan sejak 2023

IPOH – Seramai 289 pegawai perubatan (bukan pakar) dan 73 jururawat terlatih di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Perak meletak jawatan bagi tempoh 2023 hingga Jun 2025.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 103 pegawai perubatan (bukan pakar) meletakkan jawatan pada 2023, diikuti 133 orang pada 2024 dan 53 orang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Menurut beliau bagi jururawat terlatih pula seramai 30 meletakkan jawatan pada 2023, diikuti 31 orang pada tahun seterusnya dan 12 orang sehingga Jun 2025.

“Tidak dapat dinafikan wujud kecenderungan pegawai perubatan dan jururawat terlatih yang berpengalaman mohon perletakkan jawatan sedia ada dari hospital kerajaan di negeri Perak.

“Perkara ini sememangnya bukan berlaku di negeri Perak sahaja tetapi menjadi isu kritikal di setiap negeri. Ia berlaku disebabkan faktor tarikan seperti kemudahan bayaran gaji dan emolumen yang lebih menarik di sektor swasta dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Rosli Abd Rahman (PN-Pasir Panjang) sewaktu Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Perak sentiasa peka dan memberikan perhatian serius agar isu seumpama ini tidak meruncing dan mengganggu perkhidmatan sedia ada di hospital kerajaan.

Menjawab soalan mengenai langkah diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan menarik minat golongan
profesional ini agar kekal dengan perkhidmatan kerajaan Sivanesan berkata, beberapa inisiatif telah dirancang dan diperkenalkan.

Beliau berkata, ia meliputi kemudahan dan insentif yang diberikan kepada pegawai perubatan dan jururawat terlatih bagi memastikan mereka terus kekal bertugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pegawai perubatan dan jururawat terlatih lantikan kontrak yang menunjukan prestasi kerja yang baik akan ditawarkan ke lantikan tetap.

“Selain itu, pegawai perubatan dan jururawat terlatih yang bertugas syif diberikan tempoh bekerja yang lebih pendek iaitu 42 jam seminggu,” katanya.

Katanya lagi pemberian elaun kritikal kepada semua pegawai perubatan serta kenaikan pangkat secara ‘time based’ bagi golongan profesional berkenaan turut ditawarkan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI