IPOH – Seramai 297 orang belia berumur di bawah 40 tahun telah menerima peruntukan pembangunan di bawah pelbagai program melibatkan keluasan 10,935 hektar dan mengusahakan pelbagai tanaman makanan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, daripada jumlah berkenaan RM120,000 telah diperuntukkan bagi program melibatkan golongan belia.
“Antara bantuan yang diterima adalah penyediaan infrastuktur (penyediaan tanah, pagar elektrik, dan sistem pengairan), input pertanian seperti baja dan racun, peralatan pertanian serta bahan tanaman.
“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak sentiasa menggalakkan penyertaan belia dalam bidang pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Mohd Zolkafly (BN-Lintang) berkata, peranan belia dalam pembangunan ekonomi tempatan terutamanya dalam sektor pertanian dilihat sangat penting dalam usaha Kerajaan Perak memperkukuh dan memperkasakan sistem makanan negeri.
Ujar beliau, ia bertujuan agar lebih berdaya tahan dan mampan terutama apabila menghadapi sebarang krisis global atau pandemik yang mungkin berlaku dimasa akan datang.
“Bagi menjamin sekuriti makanan Perak, prestasi rangkaian di semua peringkat aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan dan keselamatan makanan, sangat wajar dipertingkatkan dan golongan belia dilihat sebagai penyambung delegasi pertanian masa hadapan.
“Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) juga sentiasa komited dalam pembangunan usahawan agrotani termasuk golongan belia dan usaha ini diperluaskan kepada semua usahawantani belia sama ada petani, penternak, peladang serta usahawan industry,” katanya.
Tambahnya, Perak SADC telah mewujudkan Program Pembangunan Usahawan SADC melalui dua skim yang boleh dipohon iaitu Skim Pinjaman Usahawan Tanpa Faedah dan Geran Asnaf Berjaya.
Mengulas lanjut, Mohd Zolkafly berkata, Kerajaan Negeri Perak secara prinsipnya telah mengenalpasti tanah yang boleh diusahakan bagi tujuan pertanian terutamanya melibatkan tanaman makanan.
Jelas beliau, inisiatif itu melibatkan tanah kerajaan sedia ada selain daripada tanah yang telah diberi milik bagi maksud pelaksanaan projek pembangunan pertanian di Perak.
“Usaha yang dilakukan antaranya adalah dengan merizabkan kawasan tanah kerajaan bagi tujuan kegunaan pertanian untuk dipajak tidak melebihi 21 tahun atau dikeluarkan Lesen Pendudukan Sementara.
“Oleh itu, para petani dari golongan belia adalah digalakkan untuk menceburi bidang ini berbekalkan kepada pengetahuan dalam bidang pertanian, mempunyai minat, semangat dan wawasan yang jitu, serta modal yang mencukupi,” katanya.
Kata beliau, golongan belia boleh mengemukakan permohonan ke Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan bersama-sama dengan Kertas Cadangan yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi tujuan pertanian selaras dengan matlamat Dasar Sekuriti Makanan, Perak Sejahtera 2030. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Sektor Pertanian Perlu ‘Diremajakan’ Untuk Tarik Belia