IPOH – Kerajaan negeri Perak akan mencari pendekatan terbaik bagi memastikan capaian internet dapat diakses oleh masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, memang terdapat sesetengah perkampungan Orang Asli di Perak yang mempunyai masalah capaian internet.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 30 menara telekomunikasi baharu di bawah insiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dibina dan telah beroperasi di kampung Orang Asli sekitar Perak.
“Memang betul ada sesetengah kampung masih mengalami masalah itu (perkhidmatan), cuma mungkin saya boleh sarankan lebih banyak program pencerahan di kawasan Orang Asli, itu lebih baik.
“Tapi kita ambil maklum keresahan tersebut dan saya rasa dalam negeri Perak tak banyak kampung Orang Asli yang tiada keterhubungan, kebanyakkannya ada cuma mungkin lemah (liputan talian) dan sebagainya cuma perlu untuk diperkuatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau inisiatif penambahbaikan liputan telekomunikasi dan kemajuan kerja di Terowong Menora (arah utara) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Jumaat.
Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau liputan internet di kampung Orang Asli dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melancarkan perkhidmatan Internet Satelit Starlink di Kampung Sungai Tonggang, Ulu Kinta pada Ogos tahun lalu.
“Kerajaan negeri sedang melihat penggunaan satelit, Starlink tapi kerana kos dan faktor berkaitan tapi ini dalam pemerhatian kerajaan negeri di bawah portfolio saya.
“Ada beberapa presentation (pembentangan) telah sampai ke pejabat saya dan kita tengah tengok dari segi kos.
“Kemudian perkara ini perlu diangkat untuk ke pengetahuan Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad, Exco dan kalau bersetuju perlu ikhtiarkan. Yang penting pada saya sustainable (mampan),” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dilaporkan berkata, hanya terdapat anggaran kurang daripada satu peratus masyarakat Orang Asli di seluruh negara terlibat secara langsung dalam sektor awam.– MG Perak
Artikel Berkaitan:
Starlink, Microsoft tunjuk minat tambah baik capaian internet di pedalaman Perak