30 PATI didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen

TELUK INTAN – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita dari Indonesia dan Bangladesh berumur antara 18 hingga 55 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pelbagai kesalahan di bawah akta Imigresen.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 29 warga Indonesia termasuk enam wanita dan seorang lelaki warga Bangladesh.

Daripada jumlah tersebut 26 daripadanya mengaku bersalah manakala empat yang lain tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan, 18 warga Indonesia termasuk dua wanita didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) kerana berada di negara ini setelah tamat tempoh pas yang dikeluarkan.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(4) akta sama itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding sama, lapan tertuduh lain termasuk seorang lelaki warga Bangladesh didakwa atas pertuduhan masuk dan berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

30 PATI didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen
Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita dari Indonesia dan Bangladesh berumur antara 18 hingga 55 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pelbagai kesalahan di bawah akta Imigresen. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 FEBRUARI 2026.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan enam sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di kebun kelapa sawit Sungai Payung, Selekoh di Bagan Datuk pada jam 6.15 petang, 13 Februari 2026.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kesemua warga asing itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) dijatuhi hukuman penjara lima bulan daripada tarikh tangkapan manakala lapan warga asing yang dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c), dijatuhi hukuman penjara empat bulan daripada tarikh ditangkap dan satu sebatan.

Sementara itu, empat warga Indonesia termasuk seorang wanita yang diperakukan sebagai imigran larangan didakwa tinggal di negara ini tanpa sebab yang munasabah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Kesemua tertuduh terbabit yang tidak mengaku bersalah itu didakwa di bawah Seksyen 15(1)(b) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 April depan untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

JIM tahan 7,043 PATI setakat 19 Februari tahun ini

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI