IPOH – Sebanyak 30 persatuan seni dan budaya di bawah naungan Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Perak menerima geran berjumlah RM210,000 bagi memperkasakan aktiviti kebudayaan di seluruh negeri tahun ini.
Timbalan Yang Dipertua MKN Perak, Azmi Ismail berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada dana keseluruhan berjumlah RM500,000 yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada majlis berkenaan bagi tahun ini.
“Daripada jumlah RM500,000 yang diterima, kita memperuntukkan RM210,000 kepada semua badan kerabat atau badan naungan manakala selebihnya digunakan bagi pengurusan serta aktiviti MKN sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan geran kepada 30 persatuan seni dan kebudayaan, serta plak penghargaan kepada agensi media pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri MKN Perak di sini, pada Ahad.
Menurut Azmi, persatuan yang menerima geran pula melibatkan pelbagai cabang seni termasuk teater, puisi, muzik, seni visual, seni tradisional serta warisan permainan seperti silat.
“Persatuan-persatuan ini meliputi pelbagai daerah antaranya Hilir Perak, Batang Padang, Tanjung Malim, Larut Matang dan Selama, Kerian, Kinta serta Lumut.
“Selain itu, terdapat juga persatuan bertaraf negeri seperti Persatuan Penulis Dan Peminat Sastera Perak, Kelab Penyair Dan Deklamator Perak, Teater Perak serta Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza yang turut menerima geran,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, MKN akan terus menggembleng tenaga bersama persatuan dalam terus memperkasakan sektor kebudayaan sebagaimana dihasratkan kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.
“Kita juga akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menyediakan saluran geran sokongan sektor kebudayaan dan pelancongan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan semua persatuan agar tidak hanya bergantung kepada dana sedia ada, sebaliknya perlu lebih proaktif mencari inisiatif sendiri bagi mengupayakan perancangan aktiviti sepanjang tahun ini.
“Kita akan bantu dari segi panduan dan kerjasama supaya mereka boleh memperoleh dana lain bagi menjayakan aktiviti berkaitan sepanjang tahun.
“Saya berharap tahun ini walaupun kita berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, namun kita masih mampu mendapatkan dana mencukupi untuk memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Seni budaya bukan hiburan semata-mata


