SONGKHLA, Thailand – Kira-kira 30,000 bilik hotel yang tersedia di sekitar bandar Hat Yai masih tidak mencukupi untuk menampung kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara, khususnya dari Malaysia.
Presiden Persatuan Perhotelan Hat Yai-Songkhla, Dr. Sittipong Sitthiphataraphrabha berkata, bandar itu menerima kunjungan antara 200,000 hingga 300,000 pelancong Malaysia setiap bulan.
Katanya, jumlah tersebut meningkat dengan ketara pada musim perayaan di Thailand atau cuti panjang di Malaysia, dengan majoriti pelancong menggunakan laluan darat untuk ke Hat Yai.
“Walaupun terdapat 30,000 bilik hotel ketika ini, kapasiti masih tidak mencukupi kerana Hat Yai turut menjadi tumpuan pelancong dari seluruh Thailand pada musim cuti.
“Sehubungan itu, beberapa projek hotel baharu kini sedang dibangunkan dan dijangka menambah kira-kira 3,000 bilik lagi dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Dan ia merangkumi pelbagai kategori termasuk hotel butik dan hotel berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Muhibbah Mesra Media Selatan Thailand-Malaysia di BP Grand Hotel Hat Yai, baru-baru ini.
Program berkenaan diadakan bersempena lawatan delegasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama 20 pengamal media Perak ke salah satu bandar di Wilayah Songkhla berkenaan selama tiga hari.
Seminar yang berlangsung kira-kira dua jam itu disertai panel yang terdiri daripada Sittipong dan Senator merangkap Presiden Persatuan Media Selatan Thailand, Chaiyong Maneerungsakul.
Panel juga dibarisi Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Ahmad Hariri Kamarudin; serta wakil media Perak yang juga Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said.
Mengulas lanjut Sittipong memberitahu, selain lokasi yang berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand, kepelbagaian budaya, makanan serta destinasi membeli belah merupakan antara faktor penarik warga Malaysia untuk berkunjung ke Hat Yai.
Beliau juga tidak menolak bahawa angka kehadiran pelancong Malaysia ketika ini juga menunjukkan peningkatan berbanding lima tahun lalu dan lebih tinggi berbanding sebelum pandemik COVID-19.
“Selain daripada berkungjung, ada juga pelancong yang menjadikan Hat Yai sebagai pintu masuk sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain seperti Phuket, Krabi atau Chiang Mai,” jelas beliau.
Pakej baharu pelancongan ‘pembedahan plastik’
Dalam perkembangan lain, Sittipong yang juga pemain industri pelancongan tempatan berkata, Hat Yai bakal memperkenalkan pakej pelancongan baharu dalam masa terdekat yang menumpukan kepada sektor kesihatan, khususnya yang melibatkan kepada pembedahan komestik dan plastik.
Jelas beliau, ini kerana trend pelancongan kesihatan semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong serantau dan Hat Yai mempunyai kelebihan sebagai pusat perubatan di wilayah selatan Thailand.
“Konsep yang bakal diperkenalkan ialah pakej menyeluruh atau ‘all-in-one’ yang merangkumi rawatan perubatan atau pembedahan plastik, kos doktor, penginapan, pengangkutan serta perkhidmatan hospital atau klinik.
“Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, tetapi memberi kemudahan kepada pelancong yang mahu mendapatkan rawatan estetik atau antipenuaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini terdapat dua hingga tiga hospital swasta di Hat Yai yang menawarkan pembedahan plastik selain puluhan klinik estetik yang beroperasi di bandar tersebut.
Tambah Sittipong, kewujudan hospital universiti tempatan yang berfungsi sebagai pusat rujukan bagi wilayah selatan negara itu turut mengukuhkan kedudukan Hat Yai sebagai hab perubatan serantau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: