32,676 kandungan penipuan atau scam diturunkan setakat 15 Ogos

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sejumlah 32,676 kandungan penipuan atau scam dalam talian antara Januari hingga 15 Ogos, peningkatan sebanyak 6,297 berbanding pada 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, Malaysia kerugian RM3.18 bilion akibat penipuan dalam talian antara 2021 dan April 2024 tetapi percaya jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Teo berkata, peningkatan jumlah kes serta kerugian yang berkaitan menunjukkan prevalens jenayah siber meningkat pada kadar membimbangkan walaupun terdapat usaha dan keterlibatan berterusan dengan penyedia platform media sosial.

Kesannya platform media sosial menjadi domain utama untuk kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI) dan alternatif berdaya maju menjadi terhad justeru beliau percaya sudah tiba masa untuk mempertimbangkan semula untuk pengelasan mereka sebagai kemudahan awam.

“Ini bermakna platform seperti Facebook, Instagram dan Tiktok boleh dianggap sebagai perkhidmatan penting sama seperti pembekal air, elektrik atau Internet.

“Pengelasan semula ini akan menjadikan platform ini tertakluk kepada peraturan kerajaan, memastikan perlindungan hak pengguna lebih baik dan pengurangan kandungan berbahaya. Sama seperti pengawasan ke atas kemudahan awam tradisional, kerangka kerja pelesenan untuk media sosial dan pemesejan segera boleh membantu menangani isu seperti maklumat salah, pelanggaran privasi dan penyebaran bahan berbahaya,” katanya.

Teo berkata, demikian dalam ucaptama pada “19th Asia Media Summit and Associated Meetings with theme ‘Media: The New Odyssey’ at Brickfields Asia College (BAC)” di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam perkembangan pesat landskap digital hari ini, pengamal media perlu menghadapi dan menangani situasi yang muncul disebabkan kehadiran teknologi AI.

Meskipun teknologi mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat ia juga membawa risiko terutama berkaitan penyebaran maklumat salah dan maklumat palsu.

Andai dibiarkan ancaman ini boleh mencetuskan ketegangan geopolitik, polarisasi masyarakat, dan memudaratkan individu termasuk penipuan dan pencerobohan privasi yang dipermudah oleh teknologi palsu dan pembuli siber.

Beliau berkata, beberapa rakyat Malaysia yang terkenal termasuk Tan Sri Noor Hisham, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Lee Chong Wei dan Khairul Aming telah dieksploit dalam operasi penipuan yang menggunakan suara dan imej selebriti ini untuk menyamar serta menipu mangsa supaya menyerahkan wang atau maklumat peribadi.

Sehubungan itu, apabila teknologi AI berkembang pesat maka memerlukan aspek pengurusan dan peraturan yang lebih berkesan untuk memastikan manfaat mengatasi kelemahan.

Teo berharap sidang kemuncak itu akan menjadi platform untuk merapatkan jurang digital dan menggalakkan keterangkuman untuk perubahan positif dalam kalangan media, penggubal dasar dan pihak berkepentingan.

Kementerian Komunikasi sedang mendapatkan sokongan sidang kemuncak ini untuk Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dan berharap dapat dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Apabila diluluskan kelak, peranan utama Majlis Media termasuk memastikan pematuhan terhadap piawaian ditetapkan memandangkan kepantasan penyebaran maklumat dalam era digital boleh membawa kesan yang meluas.

Sidang kemuncak itu menyediakan platform untuk dialog antara kerajaan bagi meningkatkan penanda aras industri media serantau dan dihadiri antaranya pembuat keputusan, profesional media, pengawal selia, cendekiawan dan pihak berkepentingan. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI