367,788 murid di Perak mula sesi persekolahan 2024/2025

PARIT – Seramai 367,788 murid prasekolah hingga pelajar tingkatan lima memulakan sesi persekolahan 2024/2025 di Perak, pada Isnin.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 213,171 merupakan pelajar pra sekolah sehingga tahun enam manakala bakinya 154,671 pula pelajar sekolah menengah.

Menurut Khairudin, jumlah murid prasekolah di Perak yang memulakan hari pertama mereka adalah seramai 18,179 orang diikuti murid Tahun 1 seramai 31,357 dan 33,334 orang pula di Tingkatan 1,

“Saya difahamkan setakat pagi ini semua sekolah di Perak memulakan operasi dengan baik tanpa sebarang masalah dan berjalan seperti yang dirancang.

“Saya juga berharap hari pertama sesi persekolahan 2024/2025 di Perak berjalan dengan lancar,” katanya kepada MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Belanja, di sini, pada Isnin.

Tambah beliau, jumlah sekolah yang beroperasi di Perak bagi sesi persekolahan 2024/2025 pula melibatkan 573 buah bagi pra sekolah, 852 sekolah rendah dan 253 sekolah menengah.

Ditanya mengenai minggu pertama persekolahan tanpa kelas akademik, Khairudin berkata, ibu bapa tidak perlu gusar mengenai perkara tersebut dan diminta memberi peluang serta ruang kepada pihak sekolah menguruskan anak-anak mereka.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja itu, ini kerana ia merupakan pendekatan dan langkah yang cukup baik kepada pelajar dalam memastikan mereka bersedia menghadapi pengajaran dan pembelajaran.

“Ibu bapa tidak perlu gusar kerana proses pengajaran dan pembelajaran bukan hanya di dalam kelas semata-mata tetapi juga ia perlu bersesuaian dengan persekitaran mereka.

“Jadi beri peluang dan ruang kepada pengurusan sekolah untuk melaksanakan aktiviti minggu pertama bagi memastikan anak-anak minat untuk hadir ke sekolah,” katanya.

-MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bantuan awal persekolahan: Guru besar, pengetua diingatkan patuh garis panduan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI