37 kanak-kanak teruja naik bas Hoho sebelum berkhatan

IPOH – Keterujaan jelas terpancar di wajah 37 orang peserta yang menyertai Program Sunathon Perdana 3.0 apabila mereka dibawa berarak menaiki bas Hop On Hop Off (Hoho) sejauh satu kilometer sebelum berkhatan di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini, hari ini.

Terdahulu, kesemua peserta berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu berkumpul di Surau Al-Ittihadiyah, Taman Meru 3C sebelum dibawa menaiki bas milik syarikat Perak Transit Berhad itu.

Setibanya peserta di masjid, mereka disambut dengan persembahan silat oleh Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia dan seterusnya disirami air dari jentera Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya.

37 kanak-kanak diarak naik bas Hoho sebelum berkhatan
Peserta khatan beramai-ramai hadir ke Program Sunathon Perdana 3.0 menaiki bas ‘Perak Hop-On Hop-Off’ ketika tinjauan lensa MG Perak di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Meru, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2025.

Pengerusi Masjid Muhammad Al-Fateh, Mohd Dzohiri Abdul Samad berkata, selain Perak Transit Berhad, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada beberapa rakan strategik masjid termasuklah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jati dan KRT Gerbang Meru Indah.

“Pada kali ini, kita tampilkan sedikit kelainan dan kita cuba buat penambahbaikan daripada Program Sunathon Perdana 1.0, 2.0 hingga ke 3.0.

37 kanak-kanak diarak naik bas Hoho sebelum berkhatan
Pengerusi Masjid Muhammad Al-Fateh, Mohd Dzohiri Abdul Samad ketika temubual bersama media pada Program Sunathon Perdana 3.0 di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Meru, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2025.

“Sebelum ini, pada Program Sunathon Perdana 1.0 acara berkhatan yang dilakukan amat ringkas disebabkan acara permulaan.

“Kemudian, pada Program Sunathon Perdana 2.0 kita sudah ada perarakan menggunakan lori daripada surau yang menjadi rakan strategik iaitu Surau Taman Jati, Surau Taman Meru 3C dan Surau Gerbang Meru Indah.

“Alhamdulillah dengan kerjasama agensi luar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), mereka memberikan perkhidmatan membawa anak-anak ini menaiki bas pelancongan serta diserikan dengan paluan pasukan kompang junior dari Masjid Nurul Islamiah, Taman Meru 2C,” katanya.

37 kanak-kanak diarak naik bas Hoho sebelum berkhatan
Gelagat kanak-kanak bermain air yang disiram oleh anggota Bomba dan Penyelamat ketika Program Sunathon Perdana 3.0 ketika tinjauan lensa MG Perak di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Meru, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2025.

Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Program Sunathon Perdana 3.0 di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini, pada Ahad.

Ahli Dewan Negara, Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar turut hadir bagi merasmikan program berkenaan.

37 kanak-kanak diarak naik bas Hoho sebelum berkhatan
Peserta khatan, Nuh Nazhan Aryan Azmi, 7, tidak dapat menahan sebak semasa dikhatankan pada Program Sunathon Perdana 3.0 ketika tinjauan lensa MG Perak di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Meru, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 JANUARI 2025.

Mohd Dzohiri berkata, peserta juga telah menjalani proses saringan malam tadi bersama  pasukan perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) melibatkan tujuh orang termasuk seorang doktor pakar yang akan mengendalikan program berkenaan.

“Peserta yang menyertai program ini perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Setahun menanti, kanak-kanak empat tahun gembira bersunat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI