39 lesen penjualan vape di Perak tamat 1 Januari lalu

IPOH – Sebanyak 39 daripada 61 lesen premis penjualan rokok elektronik atau vape di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak tamat pada 1 Januari lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, 22 baki lesen yang masih aktif tidak akan diperbaharui selepas ia tamat susulan penguatkuasaan larangan lesen penjualan vape.

Katanya, justeru itu kerajaan negeri menyarankan agar semua pengusaha vape untuk mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan itu.

“Mereka yang mempunyai lesen aktif masih boleh meneruskan penjualan sehingga ia tamat tempoh, dan saya percaya kita telah beri ruang yang secukupnya untuk mereka akur kepada peraturan ini.

“Jika ada stok yang masih tidak terjual, mereka perlu pulangkan kembali kepada pihak pembekal kerana kesemua pengusaha vape telah dimaklumkan tentang hal ini pada Oktober tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Dalam pada itu Sivanesan berkata, keputusan kerajaan negeri terhadap penguatkuasaan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan terhadap pendedahan penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Pada masa sama, beliau juga menolak dakwaan larangan tersebut akan menjejaskan bilangan tenaga kerja di negeri kini, khususnya pekerja di premis penjualan vape.

Menurut beliau, ini kerana kebanyakan mereka terlibat bekerja di kedai serbaneka atau premis yang menjual pelbagai barangan dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada jualan vape.

“Pekerja kedai serbaneka contohnya, mereka bukan diambil bekerja semata-mata untuk jual vape. Kontrak pekerjaan tidak menyatakan gaji dibayar kerana menjual vape.

“Jadi tidak timbul isu gaji dipotong atau pekerja diberhentikan kerja kerana larangan ini,” katanya lagi.

Pada 1 Oktober lalu, Perak mengumumkan pelaksanaan larangan lesen penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan PBT bermula 1 Januari 2026.

Sivanesan dilaporkan berkata, keputusan yang dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri itu sebagai fasa persediaan ke arah pengharaman sepenuhnya penjualan vape seperti yang dihasratkan Persekutuan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak rekod lebih 60 premis aktif jual vape

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI