IPOH – Sebanyak 40 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) seluruh Perak telah menerima geran bantuan kewangan fasa pertama berjumlah RM2,000 pada Mac lalu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, baki pembayaran bagi fasa kedua dijangka disalurkan pada Julai.
“Buat masa ini, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), setiap PBS menerima geran tahunan berjumlah antara RM3,000 hingga RM5,000.
“Untuk fasa kedua di Perak, baki bantuan akan diagihkan berdasarkan tahap keaktifan dan prestasi PBS yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Chai Yi (PH–Simpang Pulai) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Terdahulu, dalam soalan lisan, Mohd Hafez Sabri (PN–Manjoi) meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung cadangan penubuhan PBS dan pembinaan balai bomba baharu di Kampung Gugusan Manjoi.
Menjawab soalan itu, Sandrea (PH–Teja) memaklumkan bahawa tindakan lanjut sedang diambil susulan perbincangan wakil Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan Mohd Hafez sebelum ini.
Menurutnya, antara perkara yang sedang diteliti termasuk kesediaan anggota PBS dalam kalangan penduduk setempat serta keperluan mewujudkan organisasi lengkap bagi penubuhan pasukan tersebut.
“PBS perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (eROSES). Selepas itu, barulah mereka boleh bekerjasama dengan BBP Meru Raya untuk melaksanakan kempen kesedaran, latihan dan aktiviti berkaitan.
“Saya berpandangan, jika semua pihak dapat bekerjasama dan mengambil tindakan susulan, kerajaan negeri amat mengalu-alukan penubuhan PBS di Kampung Gugusan Manjoi,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa tiada perancangan untuk membina balai bomba baharu di kawasan tersebut memandangkan terdapat tiga balai bomba sedia ada dalam lingkungan radius 25 kilometer (km).
“Antara syarat bagi pembinaan balai bomba baharu ialah tiada balai sedia ada dalam lingkungan 25 km.
“Namun, ketika ini terdapat tiga balai berhampiran iaitu BBP Ipoh (5.2 km), BBP Meru Raya (8.3 km) dan BBP Pasir Puteh (10.3 km),” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: