402 pelajar universiti awam dirujuk kaunselor tahun lepas

KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merekodkan sebanyak 402 pelajar di universiti awam (UA) telah dirujuk kepada kaunselor di pusat pengajian masing-masing sepanjang tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Prof Dr Zainal Amin Ayub berkata jumlah tersebut mewakili 0.067 peratus daripada keseluruhan pelajar UA seluruh negara.

“Meskipun jumlah tersebut agak kecil, ia boleh dilihat daripada dua perspektif berbeza iaitu sama ada kurangnya kesedaran pelajar terhadap khidmat ini (kaunseling) atau sememangnya kesihatan mental pelajar secara amnya berada di tahap yang amat baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 3rd Malaysian Universities National Health Convention (MUNCH) 2025 di sini hari ini.

Zainal Amin berkata sebuah kajian komprehensif berkaitan kesihatan mental pelajar UA di seluruh negara juga sedang dijalankan oleh pihaknya.

Beliau berkata kajian yang dijalankan selama sembilan bulan oleh penyelidik daripada pelbagai UA, termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dijangka siap bulan depan.

Beliau berkata hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada pihak kementerian bagi mengenal pasti langkah seterusnya yang bakal diambil.

Dalam pada itu, Zainal Amin berkata MUNCH 2025 yang diadakan dua hari bermula hari ini dihadiri lebih 140 peserta terdiri daripada petugas pusat kesihatan UA seluruh Malaysia.

Beliau berkata konvensyen dwitahunan anjuran Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia itu dianjurkan secara bersama oleh Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA dan Pusat Kesihatan UMT.

“Dengan tema Empowering Healthy Community: The Future of Health Promotion, MUNCH 2025 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kapasiti profesional kesihatan, menyediakan ruang pembentangan hasil penyelidikan, meningkatkan kesedaran pencegahan penyakit serta mewujudkan platform kolaborasi antara universiti, penyelidik dan industri kesihatan.

“Konvensyen ini dilihat usaha yang baik oleh UA dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kesihatan sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat bermula daripada warga universiti sendiri. Penganjuran bersama UMT dan UniSZA juga membuktikan keupayaan universiti bekerjasama dalam menggalakkan budaya hidup sihat,” katanya.

Turut hadir Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI