41 tahun jual roti, Mokhtar warisi perniagaan bapa

KELEMBUTAN roti serta aroma dibakar menggunakan kayu api dan tempurung kelapa di dalam kebuk bata merah menjadikan ‘Roti Mokhtar’ sebagai pilihan peminatnya meskipun terdapat pelbagai jenama lain di pasaran.

Juga dikenali sebagai ‘Roti Babu’, makanan berkenaan bukan sahaja popular dalam kalangan penduduk Slim River malah juga dari luar Perak hingga ada yang sanggup memandu berjam lamanya demi membelinya.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, pemiliknya, Mokhtar Ahmad Mohamad Taqi, 62, berkata, peniagaan roti pada mulanya diusahakan oleh arwah bapa saudaranya Abdul Kadir Habib pada tahun 1949.

Beliau berkata, bagaimanapun bapa saudaranya itu hanya sempat berniaga sementara sahaja ekoran meninggal dunia akibat sakit tua dan lalu diambil alih bapanya Mohamad Taqi Habib.

Aroma roti yang siap dibakar dan sedia untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Masjid Lama, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2025.

Jelasnya, ketika itu bapanya mempunyai beberapa pekerja membantu menghasilkan roti serta menjualnya menaiki basikal di kampung sekitar sejauh tujuh ke lapan kilometer dari kilang mereka.

“Masa itu ia dipanggil roti benggali dan kami hanya jual roti kosong dan roti manis yang ada kismis dan halwa kering.

“Pagi buat roti bila siap arwah bapa dan pekerjanya akan mula mengayuh basikal untuk menjual roti benggali ini keliling kampung,” katanya.

Belajar buat dan jual roti dari bapa

Berkongsi pengalamannya selama 41 tahun membuat dan menjual roti, Mokhtar Ahmad berkata, sebelum mengambil alih perniagaan dia menerima tunjuk ajar dengan bekerja di kilang bapanya itu sekitar tahun 80an.

“Kemudian pada 1991 saya mengambil alih sepenuhnya kilang arwah bapa saya dan di situ bermulalah jerih perih saya menjual roti benggali yang menjadi sumber rezeki buat keluarga kami.

Pemilik Kilang Roti Mokhtar, Mokhtar Ahmad Mohamad Taqi, 62, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Masjid Lama, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2025.

“Bukan mudah di mana ketika itu sayalah yang membuat roti seawal pagi dan kemudiannya keluar berjual selepas solat zohor hingga lewat petang menaiki motosikal dari kampung ke kampung,” katanya.

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia kini tidak lagi menjual roti dari kampung ke kampung sebaliknya di kilang roti miliknya yang terletak di Kampung Masjid Lama, di Pekan Slim River.

“Jika dahulu saya buat roti sebelah pagi dan sebelah petang jual tetapi kini tidak lagi di mana saya buat roti di kilang kami awal pagi dan tepat jam 11 pagi kami buka untuk jualan.

“Alhamdulillah orang ramai tidak putus-putus datang terutamanya pada musim cuti umum dan hujung minggu kadang-kadang roti habis terjual seawal jam 12 tengah hari,” katanya.

Guna kebuk bata bakar roti

Ditanya mengenai keunikan rotinya, Mokhtar Ahmad sempat berseloroh dengan mengatakan ia terletak pada namanya ‘Mokhtar’ memandangkan dia cukup dikenali pembelinya terutama penduduk Slim River.

Pemilik Kilang Roti Mokhtar, Mokhtar Ahmad Mohamad Taqi, 62, meletakkan roti untuk dibakar ke dalam kebuk bata merah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Masjid Lama, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2025.
Pemilik Kilang Roti Mokhtar, Mokhtar Ahmad Mohamad Taqi, 62, meletakkan roti untuk dibakar ke dalam kebuk bata merah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Masjid Lama, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2025.

“Bukanlah kata saya masuk bakul angkat sendiri tapi bila bagi orang lain jual roti saya kadang-kadang orang buat tidak tahu sahaja. Cuba saya jual semua datang beli.

“Tapi ini sekadar gurauan sahaja. Sebenarnya saya sendiri juga tidak tahu apa keunikan roti saya kerana hanya pelanggan saya sahaja yang tahu,” katanya.

Bagaimanapun, Mokhtar Ahmad berkata, kebanyakkan pelanggannya mengatakan bahawa keunikkan roti buatannya itu terletak pada kelembutan serta aromanya yang dibakar dalam kebuk bata menggunakan api kayu.

“Dia sebenarnya mungkin sebab saya bakar pakai kayu dapur saya itu jadi ia ‘old school’. Senang cerita benda lama sebab orang sekarang suka yang pelik-pelik macam ini.

“Cuma benda-benda macam ini tidak berani saya hendak cakap sebab bagi saya kalau nak tahu keunikan kami boleh tanya pada pelanggan memandangkan mereka yang kerap berkunjung beli dan makan,” katanya.

Mula adun roti selepas subuh 

Mokhtar Ahmad berkata, perniagaannya akan bermula setiap pagi selepas selesai menunaikan solat subuh di mana adunan roti perlu dibancuh lebih awal bagi memberi masa untuk ia bangkit.

Aroma roti yang siap dibakar dan sedia untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Masjid Lama, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2025.

Katanya, dia akan menyediakan tiga adunan setiap hari mengikut jenis roti yang dijualnya dan setiap adunan mengambil masa sekitar 40 minit untuk proses penyedian dan bancuhan.

“Kebiasaannya adunan pertama adalah untuk roti kelapa, manakala adunan kedua roti tawar iaitu roti bantal dan roti lutut diikuti adunan ketiga roti krim dan roti bijan.

“Sebelum semua adunan di bakar saya akan masukan inti kelapa, kaya serta kacang mengikut jenisnya dan kebiasaanya saya akan mula membakar roti sekitar jam 10 pagi, 11 pagi dan 12 tengah hari,” katanya.

Tambah Mokhtar Ahmad, setiap hari dia akan menyediakan 900 hingga 1,000 biji roti ekoran proses membakar menggunakan kebuk bata adalah terhad disebabkan suhunya akan menurun setiap kali digunakan.

Pelanggan merasai kelembutan roti serta aroma dibakar menggunakan kayu api dan tempurung kelapa di dalam kebuk bata merah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Masjid Lama, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2025.

“Saya boleh sahaja bakar guna oven (ketuhar) tetapi roti kami digemari disebabkan keunikannya dibakar dalam kebuk bata yang mana pelanggan mengatakan aromanya berbeza.

“Selain itu saya juga berhadapan dengan cabaran bekalan kayu untuk membakar roti memandangkan sukar mencari orang yang menjualnya,” katanya.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Mokhtar Ahmad terus berusaha memastikan Roti Mokhtar terus kekal memenuhi selesa penggemarnya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Roti Mokhtar Produk Slim River Dibakar Guna Kebuk Bata

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI