GERIK – Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Perak berjaya merampas treler yang membawa muatan beras seberat 45 tan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dalam Ops Pintas 2.0, di sini awal pagi Rabu.
Pengarah KPB Perak, Nurul Zhahirah Nahrawi berkata, operasi yang turut disertai Unit Perisikan Ekonomi (E5) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu telah menahan treler tersebut sekitar jam 1.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori gagal mengemukakan dokumen sah bagi muatan beras yang dibawa serta dipercayai melanggar Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Berikutan itu, pasukan penguat kuasa KPB bertindak membuat sitaan ke atas treler dengan muatan beras yang dianggarkan sebanyak 45,000 kilogram.
“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM267,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menegaskan, KPB Perak akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Tindakan tegas akan diambil pada mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras dan peraturan-peraturan di bawahnya,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Beras Cap Gajus Baiduri bakal dijenamakan sebagai Beras Perak Sejahtera